Berita Utama

Tapak masjid bina kuil: MB digesa proaktif, jangan hanya buat penafian

Papan tanda JHEAINS sudah diletak namun tanah rizab dijadikan bangsal, bercucuk tanam

SEREMBAN, 15 Safar 1443H, Rabu – Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun digesa untuk bertindak lebih proaktif dan bukan hanya menafikan isu kebenaran cadangan pembinaan kuil di atas tanah milik Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) di Taman Indah Tampin yang tular baru-baru ini.

Presiden Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (BERJASA), Ustaz Haji Zamani Ibrahim berkata, BERJASA bahagian Tampin telah turun melihat tapak masjid yang didakwa diceroboh itu.

Beliau berkata, tapak tersebut telah diletakkan papan tanda oleh JHEAINS, namun tetap diceroboh oleh individu tidak bertanggungjawab dengan menanam tanaman dan membina bangsal simpanan barang-barangan.

“Bersebelahan tapak masjid yang telah diceroboh itu telah pun dibina kuil.

“Menteri Besar melakukan penafian tetapi tetap mengatakan lebih kurang 88 meter persegi dari sebahagian tanah rizab itu ditempiaskan oleh kerja-kerja pembinaan tersebut.

“Oleh itu, Menteri Besar jangan hanya menafikan tetapi mesti bertindak proaktif untuk membendung pencerobohan tersebut,” katanya dalam satu kenyataan.

Bimbang dengan perkara itu, Ustaz Zamani berkata, tidak mustahil juga dalam waktu terdekat terdapat kemungkinan kuil kecil dibina oleh pihak yang berminat untuk menjadikan tapak masjid sebagai tapak kuil.

“Kalau ini sudah berlaku, maka isu pencerobohan tersebut akan menjadi lebih rumit.

“Lihat sahaja apa telah berlaku kepada tanah masjid Tengku Besar Tampin, Sekolah Menengah Agama Gemas dan beberapa pencerobohan yang pernah berlaku sebelum ini,” katanya.

Sehubungan itu, untuk mengelakkan perkara ini menjadi lebih rumit, BERJASA mencadangkan supaya JHEAINS memagar kawasan tersebut bagi menghindari daripada sebarang pencerobohan.

“Lakukan pemantauan secara ketat terhadap status tanah tersebut,” katanya.

Pada masa sama, JHEAINS juga disyorkan membuat laporan polis untuk membawa kes pencerobohan tersebut ke pihak mahkamah.

“Kerajaan Negeri Sembilan mesti memperuntukkan belanjawan untuk membina surau atau masjid dengan kadar segera.

“Kerajaan Negeri Sembilan juga perlu melakukan siasatan berkaitan kuil yang telah dibina di bahagian atas tapak yang dicerobohi. Adakah kuil tersebut dibina atas tanah milik seseorang atau telah membina kuil atas tanah rizab kerajaan?

“Sekiranya kuil yang sudah dibina tersebut juga tanah yang dicerobohi, maka kes tersebut juga mesti dibawa ke mahkamah,” katanya.

Malah, Ustaz Zamani menegaskan, kerajaan juga mesti siasat sama ada terdapat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang terlibat dengan isu pencerobohan tapak masjid.

“Kesimpulannya, isu ini sesekali tidak boleh diambil ringan kerana ianya melibatkan sensitiviti umat Islam dan juga ketelusan serta integriti pihak terbabit dalam menjalankan amanah mereka,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button