Berita Utama

Rakyat Malaysia diajak doakan keadilan buat Allahyarham Adib: PEMBELA

Hari ini perbicaraan terakhir kes babitkan puluhan suspek

BANGI, 16 Safar 1443H, Khamis – Rakyat Malaysia diajak untuk sama-sama mendoakan agar keadilan menyebelahi bekas anggota bomba, Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim yang terkorban tiga tahun lalu, dalam perbicaraan terakhir di mahkamah hari ini.

Pengerusi Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA), Haji Aminuddin Yahaya berkata, mungkin ramai tidak tahu berkenaan perkara tersebut, di mana 18 individu terlibat dalam rusuhan termasuk 12 suspek lain akan dipanggil.

“Mungkin ramai yang tidak tahu, hari ini (Khamis, 23 September 2021) adalah hari terakhir perbicaraan bagi kes Allahyarham Adib di mahkamah.

“Saya yakin, kita semua sering terbayang-bayang wajah adik-beradik dan orang tua kepada Allahyarham Adib. Saya juga begitu, lebih-lebih lagi saya mengenali mereka secara peribadi.

“Maka, saya dengan rendah hati, memohon dan mengajak seluruh rakyat Malaysia untuk mendoakan agar keadilan akhirnya bakal menyebelahi Allahyarham dan keluarganya,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Terdahulu Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin memaklumkan 18 individu telah dituduh dibawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan dan perbicaraan masih berjalan sehingga 23 September.

Manakala dua tertuduh telah dituduh dibawah Seksyen 427 iaitu khianat dan dikenakan denda RM7,000 setiap seorang.

“Polis Diraja Malaysia juga telah merujuk kepada Jabatan Peguam Negara berkenaan 12 suspek yang turut ditahan berkaitan kes ini untuk arahan selanjutnya,” katanya.

Muhammad Adib meninggal dunia pada 17 Disember 2018 di Institut Jantung Negara (IJN), sebulan selepas mengalami kecederaan susulan rusuhan di luar Kuil Seafield Sri Maha Mariamman, Subang Jaya pada 27 November 2018.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button