Berita UtamaDunia

Rakyat Palestin dibom ketika protes halang Israel musnahkan kubur

Rejim Zionis musnahkan kubur untuk bina laluan ke sebuah taman

BAITULMAQDIS, 23 Rabiulawal 1443H, Sabtu – Tentera negara haram Israel bertindak kejam apabila melepaskan gas pemedih mata ke arah penduduk Palestin di kawasan perkuburan al-Yusufiyah di timur Baitulmaqdis, semalam.

Serangan berlaku ketika penduduk berjuang menyelamatkan kawasan perkuburan berkenaan yang mahu dimusnahkan bagi memberi ruang kepada pembinaan laluan ke sebuah taman.

Menurut laporan, sekumpulan penduduk Palestin berhimpun di luar kawasan perkuburan yang terletak di luar tembok Kota Lama bagi menghalang usaha rejim Zionis itu.

Turut tular video menunjukkan anggota keselamatan melemparkan gas pemedih mata dan bom tangan ke arah orang ramai, ketika beberapa pegawai lain menangkap beberapa remaja Palestin yang melakukan tunjuk perasaan.

Pasukan polis juga dilihat bertindak kejam ke atas sekumpulan warga emas yang berkeras memasuki kawasan perkuburan dengan menarik dan menolak mereka.

Seorang wanita dikenali sebagai Ola Nababteh, dilihat berpaut di batu nisan sambil merayu kepada rejim Zionis supaya tidak memusnahkan tapak perkuburan anak lelaki kesayangannya.

Sejak beberapa tahun lalu rakyat Palestin berjuang menentang rancangan Israel membina sebuah taman yang mengancam beberapa tapak perkuburan di kawasan sekitar.

Pada 2018, Israel menggali tanah di kawasan perkuburan Bab al-Rahma di luar kawasan Kota Lama, sebagai sebahagian perancangan membina laluan bawah tanah untuk pelancong ke taman negara, yang melalui kawasan perkuburan berkenaan.

Terbaharu, cubaan rakyat Palestin untuk membuka kawasan perkuburan baharu ditentang sekeras-kerasnya oleh pihak berkuasa Israel. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button