Berita Utama

Iktiraf lepasan UEC isi kekosongan guru Mandarin lemahkan SMK

Dari 2007 hingga 2017 ratusan lepasan SPM dihantar ke Beijing ikuti pengajian Mandarin

Oleh Zuhayati Yazid

BANGI, 16 Safar 1443H, Khamis – Sistem pendidikan negara terutama sekolah menengah kebangsaan (SMK) akan terjejas kewibawaannya sekiranya Sijil Peperiksaan Bersama (UEC) diberi pengiktirafan.

Tokoh bahasa dan persuratan negara, Prof Datuk Seri Dr Awang Sariyan berkata, hak dan peluang yang sepatutnya diberikan kepada lulusan SMK terpecah kerana perlu dibahagikan dengan lulusan UEC yang berada di luar sistem pendidikan kebangsaan.

“Sejak 2016, kerajaan telah membuka ruang kepada lulusan UEC untuk mengikuti kursus Ijazah Sarjana Muda Perguruan bagi Bahasa Mandarin di IPG, sedangkan peluang itu sepatutnya diberikan kepada lulusan SMK yang juga mempunyai pelajar Cina dan pelajar yang mengambil mata pelajaran bahasa Mandarin di SMK.

“Tingkatkan jumlah SMK yang menawarkan bahasa Mandarin dan berikan peluang lulusan SMK yang mempunyai kelulusan baik dalam mata pelajaran bahasa Mandarin, untuk mengikuti kursus perguruan bagi bahasa Mandarin, bukan membukanya kepada lulusan UEC,” katanya kepada Ismaweb.net, hari ini.

Mengulas lanjut, Prof Awang berkata, pelajar di SMK perlu diutamakan, termasuk meneruskan program penghantaran lepasan SPM mengikuti kursus Ijazah Pengajian Mandarin ke Beijing.

“Dalam tempoh 2007 hingga 2017, ratusan lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dihantar oleh kerajaan ke Beijing untuk mengikuti kursus Ijazah Pengajian Mandarin.

“Penghantaran itu dibuat sebagai langkah menyediakan guru bahasa Mandarin untuk sekolah kebangsaan (SK) dan SMK,” ujarnya.

Beliau berpandangan langkah berkenaan perlu diteruskan bagi menyediakan kekosongan guru mata pelajaran Mandarin dan bukan memberikan peluang kepada lulusan yang di luar sistem kebangsaan.

Prof Awang berkata, keputusan mengiktiraf UEC dilihat sebagai ‘membuka pintu’ kepada pihak persendirian lain membuat tuntutan dan sekali gus menjejaskan sistem pendidikan negara.

Ini kerana tegasnya, peperiksaan negara ini dikendalikan oleh badan berwibawa yang ditubuhkan secara rasmi, iaitu Lembaga Peperiksaan Malaysia untuk peperiksaan sehingga SPM dan Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM) untuk peperiksaan prauniversiti, sebaliknya UEC dikeluarkan oleh Lembaga Pengurusan Sekolah Menengah Persendirian Cina yang bukan badan berwibawa dalam bidang penilaian dan penaksiran.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button