Berita Utama

Kes Adib indikator keseriusan kerajaan terhadap nasib penjawat awam

Jangan hanya berani bersuara ketika jadi pembangkang, lesu bila berkuasa

Oleh Ainul Illia Meor Suzurudin

BANGI, 16 Safar 1443H, Khamis – Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (BERJASA) mengharapkan pemimpin parti Melayu dan Islam di dalam kerajaan memainkan peranan sebaiknya dalam menegakkan keadilan terhadap kematian anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM), Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim.

Presidennya, Ustaz Zamani Ibrahim berkata, Allahyarham Muhammad Adib yang merupakan penjawat awam telah menunjukkan taat setia kepada kerajaan sehingga bersedia mendedahkan diri dan nyawanya dalam apa jua keadaan demi tugas serta tanggungjawab.

Namun, katanya, isu arwah yang masih menantikan keadilan adalah gambaran kelesuan kerajaan dalam membela nasib dan maruah penjawat awam.

“Apakah kerajaan sebelum ini dan sedia ada tersangat takut dengan kehilangan sokong undi sehingga sokongan undi itu mengatasi maruah penjawat awam? Kalau benar, amat malanglah nasib penjawat awam di negara ini,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, jika usaha mencari pembelaan terhadap Allahyarham Muhammad Adib menemui jalan gagal, ia bermakna satu gambaran kelemahan dalam sistem keadilan di negara ini.

“Keadilan tidak dapat berfungsi dengan baik, seolah-olah ianya hanya mampu dilaungkan sahaja tetapi tidak mampu bertindak lebih jauh, itu pun semasa pemimpin tersebut berada di pihak pembangkang. 

“Keberanian untuk membawa keadilan bukan hanya ketika menjadi pembangkang. Kini kalian sudah mempunyai kuasa, tunggu apa lagi,” katanya.

Ustaz Zamani menegaskan, isu arwah bukan hanya melibatkan individu tetapi adalah maruah penjawat awam keseluruhannya. 

“Kalau sekiranya kerajaan menjadi lesu untuk memperjuangkannya, ini bermakna kerajaan tidak serius dalam membela maruah penjawat awam,” katanya.

Perbicaraan bagi kes Allahyarham Muhammad Adib di mahkamah berakhir hari ini.

Perkara itu dimaklumkan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin yang memberitahu, perbicaraan tersebut melibatkan 18 individu yang terlibat dalam rusuhan tiga tahun lalu.

Muhammad Adib meninggal dunia pada 17 Disember 2018 di Institut Jantung Negara (IJN) sebulan selepas mengalami kecederaan ketika berada di lokasi kejadian susulan rusuhan di luar Kuil Seafield Sri Maha Mariamman, di Subang Jaya, pada 27 November 2018.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button