Berita Utama

Pulau Batu Puteh: PM, kerajaan peroleh lanjutan masa fail penyataan pembelaan

Berhubung penarikan balik semakan semula keputusan di ICJ

KUALA LUMPUR, 16 Safar 1443H, Khamis – Mahkamah Tinggi hari ini membenarkan permohonan Perdana Menteri dan Kerajaan Malaysia untuk lanjutan masa bagi memfailkan pernyataan pembelaan dalam kes saman terhadap mereka berhubung penarikan balik semakan semula keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) di Hague, Belanda berkenaan tuntutan Pulau Batu Puteh.

Hakim Datuk Rozana Ali Yusoff menetapkan sehingga 23 Oktober ini untuk Perdana Menteri dan Kerajaan Malaysia selaku defendan pertama dan kedua memfailkan pernyataan pembelaan.

Berdasarkan notis permohonan yang difailkan pada 7 September lalu, kedua-dua defendan membuat permohonan itu atas alasan antaranya mereka telah meneliti pernyataan tuntutan plaintif dan ia sarat dengan perkara-perkara yang berkaitan dengan sejarah pertikaian Pulau Batu Puteh antara Malaysia dan Singapura sejak 1979.

“Oleh yang demikian, pihak defendan perlu meneliti setiap dokumen berkaitan sebelum memberikan maklum balas terhadap fakta sejarah seperti yang diplidkan dalam pernyataan tuntutan plaintif,” menurut kedua-dua defendan dalam notis permohonan itu.

Peguam Mohaji Selamat yang mewakili Mohd Hatta Sanuri selaku plaintif dalam saman itu ketika dihubungi Bernama berkata pihaknya tidak membantah permohonan tersebut dan Hakim Rozana kemudiannya membenarkan lanjutan masa berkenaan.

“Mahkamah menetapkan tarikh pengurusan kes selanjutnya pada 29 Oktober ini secara dalam talian (e-Review),” katanya selepas prosiding secara dalam talian yang turut disertai Peguam Kanan Persekutuan Erma Wani Ahmad Kaflee.

Pada 2018, Kerajaan Pakatan Harapan (PH) di bawah kepemimpinan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menarik balik permohonan semakan terhadap keputusan ICJ sebelum kes itu dijadualkan didengar pada 11 Jun 2018.

Pada 28 Mei lepas, Mohd Hatta, 45, memfailkan tindakan saman itu mewakili dirinya dan mewakili lebih 32 juta rakyat Malaysia yang terkesan dengan penarikan balik semakan semula keputusan ICJ oleh kedua-dua defendan, tanpa membincangkan dan membentangkannya terlebih dahulu di Parlimen.

Dalam pernyataan tuntutannya, Mohd Hatta memohon perintah supaya kedua-dua defendan memberi penjelasan bertulis mengapa mereka telah menarik diri daripada semakan semula keputusan ICJ berkenaan dengan tuntutan Pulau Batu Puteh terhadap Singapura pada 1 Jun 2018 sedangkan permohonan semakan semula dengan bukti kukuh telah dimulakan dan difailkan sejak 3 Februari 2017.

Mohd Hatta turut memohon deklarasi bahawa kedua-dua defendan membayar ganti rugi kepada setiap rakyat Malaysia berdasarkan nilai tanah Pulau Batu Puteh dan berdasarkan kerugian ekonomi dialami seluruh rakyat Malaysia termasuk plaintif secara sama rata berjumlah paling kurang RM10 juta.

Turut dimohon perintah supaya kedua-dua defendan mendedahkan secara terperinci jumlah semua kos yang telah dibelanjakan oleh defendan kedua (kerajaan) untuk persediaan permohonan semakan semula keputusan ICJ pada 3 Feb 2017 sehingga defendan-defendan menarik diri secara tiba-tiba pada 1 Jun 2018.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button