Berita UtamaIstimewa

Rekod baru jumlah lepasan UEC daftar PISMP, dakwa MCA

Semua usaha untuk pendidikan Cina dibuat selangkah demi selangkah, takkan pernah berundur: MCA

KUALA LUMPUR, 16 Safar 1443H, Khamis – Seramai 18 pelajar lepasan Sekolah Menengah Persendirian Cina (SMPC) dilaporkan mendaftar Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan (PISMP) bagi Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC), setakat kelmarin.

Pendaftaran itu merupakan angka tertinggi dalam sejarah, kata Naib Pengerusi Jawatankuasa Penasihat Pendidikan MCA, Chen Fan Chong seperti dipetik mcalantian.org, semalam.

PISMP-UEC telah dilancarkan pada 10 Jun 2010 di mana kerajaan Barisan Nasional (BN) mengumumkan kebenaran untuk lepasan sijil UEC memasuki Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM).

Difahamkan, pengambilan calon UEC adalah untuk bidang pengkhususan Bahasa Cina Pendidikan Rendah di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC).

Dengan seramai 18 orang yang mendaftar dalam PISMP-UEC, ini bermakna program yang diadakan khas untuk lepasan sijil UEC itu sudah kembali seperti sedia kala dalam kerajaan terbaharu ini.

“Pada mula pelancarannya, disebabkan pelbagai faktor, bilangan pendaftaran pelajar UEC kurang memberangsangkan.

“Tetapi dengan bantuan daripada Dong Zong, Jiao Zong dan masyarakat yang mencintai pendidikan Cina, bilangan pelajar yang mendaftar meningkat setiap tahun,” kata Fan Chong.

Pada tahun 2020 sebelum kerajaan Pakatan Harapan (PH) kehilangan kuasa, PISMP-UEC telah lenyap daripada manual pengambilan pelajar IPGM.

“Nasib baik pada tahun yang sama PH hilang kuasa kerana Tun Dr Mahathir Mohamad meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri, sebaik sahaja Perikatan Nasional (PN) berkuasa, wakil MCA yang juga Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk Mah Hang Soon telah mengumumkan pembukaan semula PISMP-UEC pada bulan Mac,” katanya.

Malah, beliau juga berkata, dalam sejarah pendidikan Cina, semua usaha dibuat selangkah demi selangkah, sentiasa mara ke depan tidak berundur.

“Kerana orang yang hendak menghancurkan orang Cina sentiasa mencari pelbagai alasan untuk menghalang perkembangan pendidikan Cina. 

“Oleh itu, saya berharap lebih ramai lagi pelajar-pelajar SMPC akan mendaftar untuk PISMP-UEC, agar kursus ini menjadi lebih baik dan melahirkan lebih ramai pendidik berbakat untuk pendidikan negara,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button