Berita Utama

Kerajaan perlu bantu golongan B10 keluar dari miskin tegar

Teruskan moratorium tanpa faedah kepada golongan B40 yang terkesan wabak

Oleh Zuhayati Yazid

BANGI, 17 Safar 1443H, Jumaat – Disebabkan pandemik COVID-19 yang belum ada tanda akan reda, kebajikan dan ekonomi rakyat pastinya menjadi fokus utama kerajaan dalam pembentangan Belanjawan 2022 pada bulan depan.

Atas dasar itu, pakar ekonomi mengesyor supaya kerajaan pimpinan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memberi tumpuan memulihkan ekonomi kumpulan B10 dan B20 atau yang berpendapatan bawah RM2,500.

Penganalisis ekonomi Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Prof Madya Dr Nuradli Ridzwan Shah Mohd. Dali berkata, golongan itu bukan sekadar perlu diberikan bantuan kewangan yang bersifat sementara, tetapi harus diberikan peluang dan tunjuk ajar untuk keluar dari kelompok kemiskinan tegar.

“Golongan B10 adalah pecahan kepada kumpulan asas B40 itu biasanya terhimpit, memandangkan tiada cagaran daripada mana-mana pihak termasuk bank – sehingga menyebabkan mereka kekal dalam kelompok miskin tegar.

“Sebenarnya mereka ada keinginan untuk ubah nasib tetapi tiada modal dan peluang, jadi kerajaan perlu buka peluang kepada mereka untuk berubah dan mudahkan golongan ini dengan menyediakan perniagaan mikro yang hanya menggunakan modal yang rendah.

“Keadaan ini pastinya dapat membantu menambah pendapatan mereka, sekali gus dapat keluar daripada kelompok kemiskinan tegar,” katanya kepada Ismaweb.net hari ini.

Berkongsi pengalaman, Prof Nuradli mengakui beliau pernah berdepan pengalaman melihat sebuah keluarga yang hanya berpendapatan RM100 sebulan, tetapi berubah selepas didedahkan dengan pernigaan mikro.

“Jadinya, kita perlu pastikan golongan ini tidak terus kekal dalam kelompok miskin tegar. Mereka boleh dapatkan kerjasama dengan agensi terbabit untuk memberikan tunjuk ajar dan perkongsian pengalaman,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, usaha meringankan beban juga perlu diberi perhatian dalam Belanjawan termasuk pemberian moratorium tanpa faedah kepada golongan B40.

“Bantuan ini perlu diteruskan supaya mereka yang baru bangkit selepas terkesan COVID-19 dapat stabil keadaan.

“Saya percaya pemberian moratorium tidak akan menjejaskan bank malah bank kekal untung dan stabil,” katanya.

Difahamkan, Bajet 2022 dirangka berdasarkan tiga keperluan utama dan turut mengambil kira jangkaan situasi ekonomi yang akan pulih daripada kesan pandemik pada tahun hadapan.

Bajet juga akan disejajarkan bersama Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button