Berita Utama

Bersatu terima sebarang keputusan hala tuju tiga parti utama Melayu

Optimis PAS terus kukuhkan hubungan kerjasama dalam PN hadapi PRU15

BANGI, 17 Safar 1443H, Khamis – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) bersedia menerima sebarang keputusan dalam hala tuju kerjasama tiga parti utama Melayu iaitu UMNO, Bersatu dan PAS dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, parti itu akan terus memberi kerjasama yang baik dengan mana-mana parti yang sealiran demi rakyat di negara ini.

“Sekiranya mereka adalah sebahagian daripada kita, kita akan bekerjasama. Jika mereka bukan sebahagian daripada kita, kita menentang mereka dalam pilihan raya.

“Itulah prinsip yang menurut saya boleh diterima kerana pucuk pimpinan dan ahli-ahli kita begitu prihatin hal itu,” katanya seperti dilapor Berita Harian hari ini.

Dalam pada itu, mengulas kecenderungan PAS ketika ini sama ada memilih untuk terus bersama PN atau Muafakat Nasional (MN) bagi menghadapi PRU15, beliau optimis PAS akan terus mengukuhkan hubungan kerjasama dalam Perikatan Nasional (PN).

Muhyiddin berkata, sehingga kini pucuk pimpinan PAS dan ahli tertinggi parti itu tetap memberi sokongan kepada PN dengan menyertai mesyuarat gabungan itu.

“Pada waktu permulaan pendaftaran PN, PAS adalah penajanya dan bersama-sama dalam PN sejak ia ditubuhkan, kemudian barulah parti lain menyertainya.

“Sehingga ke hari ini, saya lihat dalam semua mesyuarat yang kita adakan, presidennya dan semua wakilnya termasuk di peringkat pusat serta pucuk pimpinan PAS datang bersama, berbincang banyak perkara hal berkaitan kerajaan dalam gabungan parti PN,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button