Berita Utama

Bohong besar, Anwar tak layak kekal sebagai Perdana Menteri: Muhyiddin

Hutang RM8.3 bilion selesai pada 2021, semua peneroka tandatangan perjanjian sudah nikmati manfaat

BANGI, 19 Zulhijjah 1444H, Sabtu – Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin mendakwa Datuk Seri Anwar Ibrahim berbohong berhubung isu hutang peneroka Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda).

Bekas Ahli Parlimen Pagoh itu berkata, kenyataan Anwar tidak melayakkan beliau kekal menjadi Perdana Menteri kerana berbohong besar sedangkan hutang peneroka Felda telah dilupuskan pada 2021 lagi.

“Anwar menuduh saya tidak melaksanakan pelupusan hutang peneroka Felda. Ini satu pembohongan besar.

“Hal ini disahkan sendiri oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri dalam jawapan di Parlimen pada 23 Februari 2023 di mana pelupusan hutang peneroka Felda telah dilaksanakan pada tahun 2021.

“Namun, oleh kerana kekangan aliran tunai Felda, kerajaan Pakatan Harapan-Barisan Nasional tidak dapat melaksanakan pelupusan hutang peneroka secara berterusan,” katanya dalam kenyataan menerusi Facebook, hari ini.

Semalam, Anwar mendakwa pengumuman mengenai pemansuhan 80 peratus hutang peneroka Felda yang dibuat kerajaan terdahulu tidak disertai sebarang kelulusan.

Sebaliknya, kerajaan PN hanya membuat pengumuman mengenai pelupusan hutang berjumlah RM8.3 bilion tersebut.

Katanya, kerajaan PN berdegar-degar berbicara hendak menjaga orang Melayu dan Islam tetapi hutang pun tidak dilupus sehingga Kerajaan Perpaduan mengambil alih pentadbiran.

Mengulas lanjut, Muhyiddin menjelaskan, bekas Pengerusi Felda, Tan Sri Idris Jusoh juga telah membuat kenyataan pada 24 Februari 2023 bahawa pelupusan sebahagian hutang peneroka Felda berjumlah RM8.3 billion telah selesai dilaksanakan pada tahun 2021.

Tegas Muhyiddin, beliau bukan seorang manusia yang suka membuat pembohongan selain tidak menunaikan janji.

“Saya bukan jenis manusia yang suka berbohong dan tidak mengotakan janji. Yang suka berbohong dan tidak menunaikan janji ialah Anwar.

“Dengan pembohongan yang terbaharu ini, semakin jelas Anwar bukanlah seorang yang layak untuk kekal menjadi Perdana Menteri,” katanya.

Februari lalu, Idris memaklumkan sebahagian hutang peneroka Felda berjumlah RM8.3 bilion daripada jumlah keseluruhan sebanyak RM12.1 bilion telah selesai dilaksanakan pada tahun 2021.

Beliau berkata, keputusan tersebut tidak pernah dibatalkan oleh mana-mana kerajaan termasuk Kerajaan Perpaduan.

Jelasnya, semua peneroka yang menandatangani perjanjian pelupusan hutang tersebut telah menikmati manfaat dengan bayaran kembali pinjaman yang jauh lebih rendah dan mampu dibayar.

Beliau berkata demikian mengulas jawapan bertulis Parlimen pada 23 Februari lalu, di mana Menteri Undang-Undang, Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, kerajaan menghentikan inisiatif yang dimulakan oleh pentadbiran Muhyiddin untuk memansuhkan sebahagian daripada pinjaman peneroka Felda berjumlah RM8.3 bilion.

Beliau berkata, kerajaan tidak akan dapat meneruskan pelupusan pinjaman peneroka Felda lagi kerana ia mengakibatkan ‘impak besar’ kepada kewangan Felda.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button