Berita Utama

Bahasa makin tercalar daripada masyarakat awam hingga kelas atasan

Bahasa Melayu diangkat dalam Perlembagaan tanpa ketepikan peranan bahasa lain

BANGI, 20 Muharram 1443H, Ahad – Bahasa bukan hanya berfungsi sebagai alat bertutur dan menulis, malah mencerminkan keperibadian seseorang serta kecerdikan watan.

Ini kerana, ketertiban penggunaan bahasa amat penting berikutan berkait rapat manifestasi peri laku.

Pensyarah Pusat Pengajian Teras, Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Dr Siti Nor Azhani Mohd Tohar berkata, bahasa dan perilaku berkait rapat dalam memberi gambaran peribadi seseorang individu.

 

“Sering kita dengar perkataan ‘tidak tahu bahasa’ yang merujuk kepada tingkah laku salah.

“Begitu juga perkataan ‘pandai dia berbahasa’ yang merujuk tingkah laku sopan yang disukai orang. Begitu juga terdapat gabungan perkataan budi bahasa,” katanya.

Menulis di Berita Harian hari ini, beliau berkata, budi itu bukan hanya merujuk perlakuan baik sopan, malah juga kepada akal dan kebijaksanaan.

Maka katanya, gabungan budi dan bahasa menunjukkan ketinggian bahasa bergabung jalin dengan kebijaksanaan akal.

“Namun dewasa ini, bahasa tercemar dalam pelbagai ranah daripada masyarakat awam sehinggalah kelas atasan.

“Bahasa yang menjadi lambang kesantunan bangsa dan tinggi nilai estetika semakin tercalar bukan sekadar ranah di media sosial, malah di ranah formal yang seharusnya menjadi pentas dalam meluhuri Perlembagaan dan memegang semangat kesopanan serta kesusilaan,” katanya.

Dr Siti Nor Azhani berkata, selepas kemerdekaan, bahasa Melayu diangkat taraf dalam Perlembagaan tanpa mengetepikan peranan bahasa lain yang dimiliki masyarakat multi etnik.

Katanya, fungsi dan peranannya bukan disebabkan citra budaya Melayu semata-mata, sebaliknya atas kesedaran menyatukan kepelbagaian kaum yang wujud sebelum kemerdekaan.

“Satu bahasa perlu diangkat untuk dimahiri pelbagai kaum bagi menggalakkan interaksi efektif dan akhirnya mengikat kebersamaan.

“Bahasa asing tidak mampu mendakap fungsi ini kerana tida dapat menyantuni seluruh masyarakat pelbagai latar demografi dan paling penting tidak memenuhi citra sebuah negara merdeka,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button