Berita Utama

Lebih 80,000 unit kediaman dibina menerusi RMK-12

Manfaat kepada 400,000 rakyat sepanjang tempoh berkenaan

BANGI 17 Safar 1443H, Jumaat – Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) merancang membina kira-kira 80,000 unit kediaman yang akan memanfaatkan kira-kira 400,000 rakyat sepanjang tempoh Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12), kata Menterinya Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican.

 

Memperincikan perancangan tersebut, Reezal Merican berkata 16,011 unit rumah adalah Projek Perumahan Rakyat (PPR); 39,192 unit rumah (Perumahan Penjawat Awam); 10,256 unit rumah (Perumahan PR1MA) dan 15,000 unit Rumah Mesra Rakyat.

 

Beliau berkata KPKT selaku pihak yang bertanggungjawab kepada hal ehwal perumahan di negara ini sentiasa memastikan agenda perumahan untuk rakyat diberi keutamaan dalam setiap hala tuju strategik negara seperti Belanjawan tahunan mahupun setiap kali RMK dibentangkan.

 

“Agenda perumahan adalah isu akar, isu pokok yang menjadi nadi kepada setiap rakyat Malaysia, setiap Keluarga Malaysia,” katanya ketika majlis pelancaran Rumah Ikram Keluarga Malaysia di KPKT, hari ini.

 

Majlis pelancaran disempurnakan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob disusuli majlis penyerahan kunci kepada kumpulan pertama yang terdiri daripada 100 penerima Rumah Ikram Keluarga Malaysia secara fizikal dan dalam talian.

 

Inisiatif Rumah Ikram Keluarga Malaysia menggunakan kediaman PPR sedia ada yang dikhususkan kepada rakyat Malaysia yang terkesan akibat pandemik COVID-19, dengan menawarkan kadar sewa minimum RM124 sebulan bagi tempoh mendiami maksimum dua tahun.

 

Sebanyak 1,000 unit kediaman di kawasan PPR yang berada di bawah kawalan dan pengurusan KPKT meliputi Kuala Lumpur, Selangor, Kedah, Kelantan dan Johor disediakan buat permulaan bagi inisiatif Rumah Ikram Keluarga Malaysia itu.

 

Beliau berkata inisiatif itu merupakan pendekatan penampan terhadap kesan penularan COVID-19 yang melanda negara sejak tahun lepas.

 

Reezal Merican berkata KPKT akan mencadangkan kepada pihak berkuasa negeri untuk menjalankan inisiatif tersebut di negeri masing-masing.

 

“Kita telah menerima begitu banyak permohonan, tidak kurang juga panggilan yang bertanyakan tentang inisiatif ini,” katanya yang menyatakan inisiatif itu menjadi pemacu kepada KPKT untuk membantu rakyat yang terkesan. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button