Berita Utama

Operasi institusi pendidikan ikut fasa baharu PPN

MKN beri kelulusan pelajar Tingkatan 6 Semester 2 hadir ke institusi pendidikan tanpa penggiliran

BANGI, 17 Safar 1443H, Jumaat – Pembukaan institusi pendidikan bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) di Johor akan dibuka bermula 10 Oktober depan berdasarkan ketetapan pengoperasian bagi negeri Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara (PPN).

KPM dalam satu kenyataan hari ini berkata, pembukaan institusi pendidikan di Pahang pula kekal pada 4 Oktober, juga berdasarkan ketetapan pengoperasian institusi pendidikan bagi negeri Fasa 2 PPN.

Katanya, memandangkan Pahang akan beralih ke Fasa 3 bermula hari ini, maka institusi pendidikannya akan beroperasi berdasarkan ketetapan negeri Fasa 3 PPN bermula 11 Oktober depan.

“Bagi Negeri Sembilan, pembukaan institusi pendidikan bawah KPM kekal pada 4 Oktober 2021 berdasarkan ketetapan pengoperasian institusi pendidikan bagi negeri Fasa 3 PPN.

“Memandangkan Negeri Sembilan akan beralih ke Fasa 4 pada 24 September 2021 (hari ini), maka pengoperasian institusi pendidikan di Negeri Sembilan berdasarkan Fasa 4 PPN hanya akan bermula pada 18 Oktober depan,” katanya.

Tarikh berkenaan dibuat merujuk kepada pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada Rabu berkaitan peralihan fasa PPN bagi Johor, Pahang dan Negeri Sembilan berkuat kuasa hari ini.

KPM menetapkan jika sesebuah negeri beralih ke fasa seterusnya, pengoperasian institusi pendidikannya mengikut ketetapan fasa baharu akan dilaksanakan selepas dua minggu daripada tarikh peralihan ke fasa berkenaan.

Selain itu, KPM memaklumkan, Majlis Keselamatan Negara (MKN) juga memberi kelulusan untuk pelajar Tingkatan 6 Semester 2 dan kelas peperiksaan antarabangsa (IGCSE O-Level) di negeri Fasa 1 hadir ke institusi pendidikan tanpa penggiliran.

“Oleh itu, pengoperasian institusi pendidikan di Kedah akan bermula pada 10 Oktober 2021 untuk kumpulan murid berkenaan. Murid lain kekal mengikuti pengajaran dan pembelajaran di rumah.

“Susulan pengumuman Langkawi sebagai kawasan gelembung pelancongan pada 16 September lalu, pengoperasian institusi pendidikan bermula pada 3 Oktober depan adalah berdasarkan ketetapan negeri Fasa 4 PPN,” katanya.

Bagi institusi pendidikan di negeri lain yang tidak terbabit dengan peralihan fasa, pengoperasian institusi pendidikan adalah berdasarkan ketetapan fasa sedia ada seperti diumumkan kementerian pada 12 September lalu.

KPM menjelaskan, institusi pendidikan bawah KPM merujuk kepada sekolah, kolej vokasional, kolej matrikulasi dan institut pendidikan guru.

“Ia juga terpakai kepada institusi pendidikan swasta yang berdaftar bawah KPM bagi kategori sekolah dan kategori pusat.

“KPM juga menyarankan agar ketetapan ini turut terpakai di semua institusi pendidikan yang tidak berdaftar dengan KPM, termasuk institusi pendidikan bawah kerajaan negeri,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button