Dunia

‘Bebas atau mati’, tahanan Palestin mogok enggan ambil insulin

Berang tindakan Israel tahan tanpa pendakwaan, perbicaraan

BAITULMAQDIS, 18 Safar 1443H, Sabtu – Sejak seminggu lalu tahanan Palestin, Amin Shweiki, 61, enggan mengambil suntikan insulin sebagai tanda protes terhadap penahanannya selama berbulan-bulan tanpa sebarang pendakwaan atau perbicaraan.

Tentera negara pengganas Israel menahan Amin yang mengidap penyakit diabetis pada 17 Mei lalu di rumahnya, di bawah undang-undang penahanan pentadbiran.

Ia adalah sebahagian kempen penahanan (PDF) susulan daripada tunjuk perasaan yang dilakukan bagi membantah rampasan tanah di Sheikh Jarrah dan tindakan biadab mengebom Semenanjung Gaza.

Amin merupakan seorang daripada 520 tahanan Palestin yang dipenjarakan di bawah undang-undang penahanan pentadbiran.

Pada awalnya, graduan kejuruteraan di United Kingdom (UK) itu dijadual dibebaskan pada 16 September lalu, sebelum mahkamah negara haram Israel melanjutkan tahanan untuk empat bulan lagi.

Tindakan itu membuatkan Amin berang dan nekad untuk mogok di dalam penjara yang terletak di selatan Naqab.

“Sama ada saya mati atau saya dilepaskan,” kata Amin dengan tegas kepada isteri dan peguamnya.

Sejak kebelakangan ini, isu berkenaan tahanan Palestin sering menjadi perhatian terutamanya selepas kejayaan enam tahanan meloloskan diri dari penjara Gilboa menerusi saluran bawah tanah.

Sehingga kini dipercayai seramai 4,650 rakyat Palestin ditahan di penjara Zionis dengan 200 orang daripadanya merupakan kanak-kanak. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button