Berita Utama

Cabutan judi: Ahli Parlimen muslim tak setuju dicadang keluar tuntutan

Takkan mampu main retorik saja, kuasa menuntut ada di tangan

SAYA perhati sahaja gelagat politikus-politikus kita terutamanya Ahli-Ahli Parlimen dalam isu cabutan undi judi khas yang dikatakan sudah naik kepada 22 cabutan setahun, kononnya boleh meningkatkan ekonomi negara.

Selama ini, politikus-politikus kita selalu memandang enteng dan mempersenda rakyat marhaen terutamanya NGO-NGO yang bersuara terhadap perkara yang salah. Selalu diperli kami tidak ada kuasa, maka melalaklah seorang diri.

Ok, mari kita tengok apa ‘orang-orang yang ada kuasa’ ini buat dengan kuasanya dalam isu ini.

1. Yang melaksanakannya.

Yang meluluskan perkara ini kononnya boleh meningkatkan ekonomi negara memang sangat melucukan. Malah, dengan apa jua sebab sekalipun memang tidak munasabah. Judi bukan sahaja haram dalam Islam, malah ianya merosakkan diri, keluarga dan masyarakat. Apakah kerajaan mahu rakyat lebih rosak dengan judi, lebih-lebih lagi masing-masing stres dengan tekanan hidup kerana krisis ekonomi?

2. Ahli-Ahli Parlimen kerajaan.

Sebelum ini kita lihat, bukan main lagi garang sebahagian besar dari mereka ugut tarik sokongan setiap kali kemahuan mereka tidak dipenuhi. Siap ada yang letak jawatan menteri, jawatan-jawatan GLC dan sebagainya sehingga akhirnya kerajaan terpaksa ditukar. Dan kebanyakan kemahuan mereka itu dipenuhi semula. Malah, dulu ada slogan ‘yang minoriti kawal majoriti’ dengan hujah sokongan kerusi Parlimen.

Kenapa tidak boleh buat untuk isu ini (atau mana-mana isu lain yang berkait dengan Islam)?

3. Ahli-Ahli Parlimen pembangkang.

Ahli-Ahli Parlimen pembangkang pun sedap juga, perli-merli tetapi hakikatnya mereka ini ada kuasa juga untuk buat perubahan kerana jawatan pembangkang bukan wujud untuk sia-sia. Ingatkah kita pada MoU pembangkang-kerajaan baru-baru ini, di mana Ahli-Ahli Parlimen pembangkang bersetuju untuk tidak menarik sokongan atau tiada undi tidak percaya? Ini bermakna mereka ada kuasa untuk tarik sokongan dan jatuhkan kerajaan.

Cuba kalau Ahli-Ahli Parlimen pembangkang muslim ugut nak buat undi tak percaya, saya rasa kerajaan pun boleh U-Turn. Berani tak berani sahajalah.

Kenapa tidak boleh buat untuk isu ini (atau mana-mana isu lain yang berkait dengan Islam)?

Saya cadang, Ahli-Ahli Parlimen muslim (kerajaan dan pembangkang) yang tidak bersetuju dengan cabutan judi ini duduk berbincang bersama dan keluarkan tuntutan mereka, gunakanlah ‘ugutan-ugutan’ tersebut. Takkan hanya mampu main retorik sahaja, padahal kuasa menuntut ada pada tangan?

Aminuddin Yahaya
Pengerusi PEMBELA
25 September 2021

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button