Berita UtamaDunia

Mahmoud Abbas beri tempoh setahun Israel keluar dari Palestin

Ancam tarik pengiktirafan jika gagal dicapai

NEW YORK, 18 Safar 1443H, Sabtu – Presiden Palestin, Mahmoud Abbas memberi tempoh satu tahun kepada Israel untuk menarik diri dari wilayah diduduki, bahkan mengancam untuk menarik pengiktirafan negara itu jika gagal melakukannya.

Ketika berucap secara maya dalam Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) pada Jumaat lalu, Abbas berkata, beliau tidak akan lagi mengiktiraf Israel berdasarkan garis prasempadan 1967 jika negara haram itu menolak untuk keluar dari wilayah Palestin.

“Kita harus menyatakan bahawa Israel yang menjajah memiliki setahun untuk keluar dari wilayah Palestin yang didudukinya pada 1967, termasuk Baitulmaqdis Timur.

“Tetapi jika ini tidak dapat dicapai, kenapa perlu kekalkan pengiktirafan Israel berdasarkan sempadan 1967?” katanya.

Pada masa sama, Abbas turut meminta Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres untuk mengadakan persidangan damai antarabangsa dan menyatakan kesediaannya untuk bekerja sepanjang tahun bagi menyelesaikan status akhir Israel serta Palestin selaras resolusi PBB.

Bercakap dengan latar belakang peta wilayah yang menunjukkan pengembangan wilayah Israel selama beberapa dekad, Abbas mendakwa negara itu melakukan apartheid dan pembersihan etnik.

Beliau menambah, rakyat Palestin sedia pergi ke Mahkamah Keadilan Antarabangsa mengenai masalah legitimasi pendudukan negara Palestin.

Israel bagaimanapun menolak tuntutan pemimpin Palestin itu.

Duta Israel ke PBB, Gilad Erdan berkata: “Mereka yang benar-benar menyokong rundingan dan perdamaian tidak akan mengancam dengan tuntutan khayalan menerusi platform seperti yang beliau lakukan”.

Katanya, ucapan Abbas membuktikan sekali lagi bahawa beliau tidak lagi relevan. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button