Jannah Theme License is not validated, Go to the theme options page to validate the license, You need a single license for each domain name.
Berita Utama

Ratifikasi CPTPP gagalkan kempen BMF sampai bila-bila

Jangan kerana jaga persahabatan, kepentingan rakyat tergadai

Oleh Zuhayati Yazid

BANGI, 18 Safar 1443H, Sabtu – Kempen Beli Produk Muslim atau Buy Muslim First (BMF) tidak akan berjaya dilaksanakan sampai bila-bila, sekiranya kerajaan meratifikasi Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP).

Felo Kanan Majlis Tindakan Ekonomi Malaysia (MTEM), Ahmad Yazid Othman menegaskan, CPTPP menentang konsep BMF dengan menyifatkan semua pihak adalah sama dan tiada perbezaan.

“Kalau di Malaysia, kita masih berjuang untuk rapatkan jurang kekayaan usahawan Bumiputera dengan bukan Bumiputera.

“Tapi sekiranya CPTPP ini dilaksanakan, kita tiada ruang langsung untuk penyesuaian berkenaan, untuk mengurangkan kekayaan tersebut.

“Malah semua terkesan kerana kuasa pemodal atau kuasa teknologi yang mereka ada yang lebih besar menyebabkan mereka lebih berkuasa,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjadi panel dalam program bual bicara bertajuk: Meratifikasi (CPTPP) ‘Bunuh’ Industri Kecil yang disiarkan menerusi TV Pertiwi, malam semalam.

Ahmad Yazid turut berpandangan perjanjian CPTPP tidak menguntungkan usahawan tempatan malah berat sebelah kerana hanya memberi peluang besar kepada syarikat gergasi yang ada dalam negara blok CPTPP sahaja.

Sehubungan itu, beliau berpandangan, pemimpin negara perlu berani dan bijak dalam membuat pendirian tegas untuk tidak takut dengan tekanan antarabangsa.

“Jangan kerana mahu ‘berkawan’ dengan Amerika Syrikat (AS) dan China’ kita hanya ‘welcome’ sesiapa sahaja dan apa yang dinyatakan diikuti sahaja sedangkan, belum tentu negara itu bersedia ke arah berkenaan,” ujarnya.

Katanya lagi, semua pihak perlu menjaga kedaulatan negara, kebajikan rakyat dan bukannya bersungguh-sungguh pertahankan persahabatan sehingga tergadai kepentingan.

“Tidak semua yang menyatakan kesediaan itu mahu menyertai perjanjian ini sebaliknya disifatkan sebagai geopolitik semata-mata,” tegas Yazid.

Pautan Agenda Pertiwi

https://www.facebook.com/TvPertiwi/videos/904604116849717/

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button