Berita Utama

Salah guna PLKS, tauke kilang pakaian warga Bangladesh ditahan

Suspek tubuh syarikat dengan kerjasama warga tempatan, guna sumber tenaga kerja PATI

BANGI, 18 Safar 1443H, Sabtu – Jabatan Imigresen menahan seorang pengusaha kilang pakaian warganegara Bangladesh bersama 45 orang pendatang asing tanpa Izin (PATI) dalam satu operasi penguatkuasaan di Ampang pada Khamis lalu.

Operasi berkenaan rentetan daripada kejayaan OP Hack yang dijalankan bersama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada April lalu.

Beberapa siri operasi telah dijalankan bagi mengesan saki-baki individu yang menggunakan pelekat Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) yang dikeluarkan oleh sindiket ID Hack berkenaan.

Dalam operasi berkenaan, sepasukan pegawai Imigresen telah menyerbu dua buah kilang pakaian dan dua premis lain iaitu sebuah bangunan pejabat dan pusat pameran milik seorang lelaki warganegara Bangladesh berumur 46 tahun.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata, suspek menggunakan PLKS yang disyaki diperolehi melalui sindiket ID Hack sebelum ini untuk menubuhkan sebuah syarikat di Malaysia.

Katanya, syarikat suspek aktif dalam bidang industri pembuatan pakaian untuk pasaran Lembah Klang dan sekitar Selangor sejak tahun 2012.

“Berdasarkan siasatan awal, modus operandi suspek adalah menubuhkan syarikat dengan kerjasama warga tempatan dan mengunakan sumber tenaga kerja dari kalangan PATI untuk memaksimakan keuntungan.

“Suspek bertindak menyewa beberapa premis komersial termasuk sebuah bangunan tiga tingkat untuk dijadikan kilang bagi aktiviti memotong, menjahit, mencetak pakaian selain dijadikan sebagai hostel pekerja.

“Manakala sebuah premis pula dijadikan sebagai pusat pameran dan jualan syarikat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, suspek juga mampu menggaji seramai 45 orang warga asing dengan anggaran bayaran gaji seorang sebanyak RM1,600 sebulan untuk meningkatkan pengeluaran bagi memenuhi permintaan pelanggan.

Syarikat milik suspek dianggarkan berjaya mengaut keuntungan lumayan melalui perolehan jualan antara RM130,000 hingga RM150,000 sebulan.

Khairul berkata, kegiatan suspek telah menyebabkan kerugian hasil kepada kerajaan khususnya dalam bentuk levi pekerja asing mencecah RM700,000 sepanjang tempoh syarikat itu beroperasi.

Semua tahanan kini di tahan di bawah Seksyen 51(5) (b) Akta Imigresen 1959/63 selama 14 hari untuk siasatan lanjut.

Manakala, suspek dan seorang wanita warganegara tempatan berumur 37 tahun yang juga merupakan pengarah syarikat disiasat atas kesalahan menggaji pekerja asing tanpa pas sah di bawah Akta Imigresen 1959/63 serta kesalahan-kesalahan lain berkaitan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001(Akta 613) dan Akta Anti Pemerdagangan Manusia dan Penyeludupan Migran 2007.

Khairul menegaskan, Jabatan Imigresen tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terlibat dalam penggodaman sistem jabatan sehingga memberi implikasi buruk kepada keselamatan dan ekonomi negara.

“Justeru, jabatan ini akan mempergiatkan risikan untuk terus memburu saki-baki pelekat PLKS yang dikeluarkan oleh sindiket ID Hack yang berjaya ditumpaskan beberapa bulan lalu,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button