Berita UtamaIstimewa

Silibus UEC: Dong Zong mengaku ada kesilapan dalam buku teks

'Kami tahu, golongan ini sengaja bermain dengan isu ini, kami juga tidak boleh berdiam diri'

BANGI, 18 Safar 1443H, Sabtu – Pertubuhan pendidikan Cina, Dong Zong menyiarkan sebuah video berbahasa Melayu didakwa untuk menjelaskan ciri-ciri penyusunan buku teks sejarah Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC).

Ini susulan kritikan yang diterima dari pertubuhan Islam, yang mendakwa buku teks UEC memfokuskan sejarah negara China, tidak mementingkan sejarah Malaysia, tiada rasa cintakan negara dan lain-lain lagi.

China Press yang memetik sumber Dong Zong sebagai berkata, video tersebut bertujuan untuk menjawab ulasan yang dibuat oleh sebuah pertubuhan Islam.

Sumber itu mendedahkan, kebelakangan ini pertubuhan tersebut dengan lantang menggesa kerajaan agar tidak mengiktiraf UEC di media sosial, bahkan beberapa minggu sebelumnya ia juga telah mengadakan wawancara yang ‘menggembar-gembur’ tentang buku teks sejarah UEC.

“Pertubuhan ini berbuat demikian setelah tersebarnya khabar angin tentang CSA di antara pihak kerajaan dan PH yang melibatkan pengiktirafan sijil UEC. Sudah tentu perkara ini tidak berlaku dan mereka ternyata hanya bermain dengan isu ini.

“Mereka mengkritik sukatan mata pelajaran subjek sejarah UEC kurang menekankan sejarah Malaysia, tidak mementingkan sejarah Malaysia, tidak menzahirkan rasa cinta pada negara. Bahkan mereka telah menyiarkan video kritikan tersebut di Tik Tok,” katanya seperti dilapor China Press pada 23 September lalu.

Menurut sumber itu lagi, video penjelasan berbahasa Melayu yang disiarkan oleh Dong Zong adalah sebagai respons terhadap tindakan pihak tersebut, tetapi video itu tidak menamakan kepada siapa ia ditujukan.

“Kami tahu, golongan ini sengaja bermain dengan isu ini, jadi kami tidak mahu bertelagah, tetapi kami juga tidak boleh berdiam diri mengenai isu ini,” katanya.

Menurut Dong Zong, 53 peratus dari kandungan buku sejarah UEC ialah tentang sejarah Malaysia, manakala 47 peratus lagi adalah mengenai sejarah dunia.

Sejarah dunia pula tidak hanya memfokuskan sejarah China, kerana sejarah tentang Asia Timur, Amerika Syarikat dan Eropah turut dimuatkan dalam buku teks Sejarah UEC.

Dong Zong menegaskan, pendekatan ini lebih bersifat inklusif dan turut mendapat pengiktirafan dari ahli sejarah tempatan, kerana penyusunan kandungan begini dilihat lebih komprehensif.

“Pertubuhan Islam itu mendakwa, tiga buah buku teks sejarah UEC semuanya ialah buku teks sejarah China. Sebenarnya, itu adalah edisi lama. Dalam buku teks sejarah edisi baru, sejarah China sudah dimasukkan dalam bab sejarah Asia Timur,” katanya.

Selain itu, sumber berkaitan turut menegaskan, kandungan buku teks UEC adalah berdasarkan rujukan maklumat dari Arkib Negara, yang antaranya ialah berkenaan insiden 13 Mei di mana bilangan orang Cina yang mati lebih ramai berbanding bangsa lain, ini semua adalah berdasarkan fakta.

Sumber tersebut turut mengakui terdapat unsur kecuaian pada dua gambar dalam buku teks edisi lama, tapi ia telah dibetulkan dalam edisi baru.

“Setiap enam tahun kami akan menilai semula dan menambah baik buku-buku teks, sama dengan amalan kerajaan,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button