Berita Utama

Kerajaan tahu tak isu kecuaian dalam silibus UEC?

Dakwa kesilapan telah dibetulkan dalam cetakan terbaharu

SETELAH diasak bertubi-tubi mengenai penyelewengan fakta dalam silibus UEC bagi subjek sejarah, Dong Zong akui bahawa ianya memang benar.

Antaranya ialah mengenai gambaran wanita boleh menjadi imam solat (memimpin jemaah lelaki), orang Melayu pergi haji pakai baju Melayu dan pelbagai lagi yang kita rasa tidak masuk akal dan melucukan.

Mereka kata apa yang silap itu telah dibetulkan dalam cetakan terbaharu. Bayangkan jika kita tidak buat pembongkaran, entah berapa generasi lagi membesar dengan kebodohan ini yang akhirnya faham naratif yang salah terhadap orang Melayu dan umat Islam.

Tidak hairanlah banyak salah faham tentang orang Melayu dan Islam itu berlaku walaupun orang Melayu dan Islam adalah majoriti yang ada di mana-mana, melainkan memang dari bangku sekolah diasingkan dan ditambah lagi dengan indoktrinasi palsu.

Saya tidak tahulah berapa generasi yang telah melalui penipuan-penipuan ini, selepas berpuluh tahun. Yang hairannya, apakah kerajaan tidak tahu? Sudahlah berjuta-juta ringgit disalurkan kepada sekolah-sekolah persendirian ini.

Inilah antara sebab utamanya sistem pendidikan perlu dikelola oleh kerajaan, bukannya dikelola oleh sebuah NGO yang punyai agenda tersendiri.

Malah, UEC lahir dari keengganan untuk menerima dasar pendidikan kebangsaan. Maka, mana mungkin kita boleh jamin apa yang dipelajari di dalam sistem ini adalah suatu yang betul.

Apa yang dibongkar hanyalah juzuk kecil dari apa yang ada dalam sistem UEC ini. Saya yakin, ada banyak lagi yang kita tidak tahu. Kalau perkara ini pun tidak mampu membuka mata kerajaan tentang hakikat UEC yang tidak patut diiktiraf, saya tidak tahulah nak kata apa lagi.

Sudah diberi banyak keistimewaan seperti peluang menjadi guru sekolah kerajaan, menduduki sijil jadi peguam, memasuki universiti-universiti kerajaan negeri dan pelbagai lagi. Tetapi masih diratib seolah-olah terpaling tertindas.

Aminuddin Yahaya
Pengerusi PEMBELA
26 September 2021

Rujukan:

Silibus UEC: Dong Zong mengaku ada kesilapan dalam buku teks

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button