Berita UtamaDunia

8 maut serangan pengebom bunuh diri dekat Istana Presiden Somalia

Al-Shabaab mengaku bertanggungjawab sasar serangan ke atas konvoi

MOGADISHU, 19 Safar 1443H, Ahad – Sebuah kereta meletup di persimpangan jalan berhampiran Istana Presiden Somalia, membunuh sekurang-kurangnya lapan orang, kata polis.

Jurucakap polis, Abdifatah Aden Hassan memberitahu wartawan di lokasi bahawa jumlah korban dijangka lebih tinggi.

“Al Shabaab dalang di sebalik letupan itu. Mereka membunuh lapan orang termasuk seorang tentera dan seorang ibu dan dua anak. Al Shabaab membunuh orang awam,” katanya.

Jurucakap kerajaan, Mohamed Ibrahim Moalimuu berkata, antara yang terbunuh adalah Penasihat Hal Ehwal Wanita dan Hak Asasi Manusia di Pejabat Perdana Menteri, RobleHibaq Abukar.

“Beliau adalah salah satu tonggak Pejabat PM (untuk) hal wanita,” katanya di akaun Facebook beliau.

Tidak jelas sama ada Abukar berada di konvoi atau beliau secara kebetulan berada berhampiran ketika letupan itu berlaku.

Kumpulan Al-Shabaab mengaku bertanggungjawab dalam serangan yang menyasarkan konvoi yang menuju ke istana.

Kumpulan itu – yang ingin menggulingkan kerajaan dan menerapkan penafsirannya sendiri terhadap undang-undang Islam – sering melakukan pengeboman seperti itu.

“Seorang pengebom bunuh diri menyasarkan konvoi kereta yang menuju ke istana (presiden),” kata jurucakap operasi ketenteraan al Shabaab, Abdiasis Abu Musab kepada Reuters menerusi telefon.

Saksi Reuters di lokasi serangan melaporkan melihat tujuh kereta dan tiga beca musnah akibat letupan itu dan seluruh simpang dipenuhi darah. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button