Berita UtamaDunia

PA desak Sudan serah aset disita milik Hamas

Hamas bidas permainan murahan guna nama gerakan Islam

BAITULMAQDIS, 19 Safar 1443H, Ahad – Pihak Berkuasa Palestin (PA) meminta Sudan untuk menyerahkan aset yang dirampasnya daripada Pergerakan Perjuangan Islam Palestin (Hamas) sebagai sebahagian dari tindakan keras terhadap kumpulan itu baru-baru ini.

Pemimpin kanan Palestin yang dekat dengan Presiden, Hussein al-Sheikh membuat permintaan itu secara terbuka menerusi akaun Twitter semalam.

“Kami berharap negara #Sudan, yang selalu menjadi penyokong (rakyat dan kerajaan) kepada #Palestine, untuk menyerahkan dana yang disita kepada Palestin dan kerajaannya,” katanya sambil menambah bahawa individu hebat yang terkepung di #Gaza sangat memerlukan dana.

Sudan telah lama menjadi sekutu Hamas di bawah pemerintahan bekas Presiden, Omar al-Bashir.

Bagaimanapun sejak beliau digulingkan pada 2019, pihak berkuasa Sudan mengawal pelaburan dan syarikat yang dikatakan menyalur dana kepada Hamas selama bertahun-tahun.

Hamas – saingan sengit Abbas – Jumaat lalu berkata, gerakan itu tidak mempunyai kaitan dengan syarikat dan individu yang menjadi sasaran tindakan keras Sudan, dengan mengatakan aset yang dirampas itu adalah milik pelabur dan perniagaan Palestin.

Pemimpin kanan Hamas, Moussa Abu Marzouk mendakwa Sheikh cuba memanfaatkan keadaan yang mengelirukan.

“Apa yang berlaku di #Sudan adalah konflik antara orang awam dan ketenteraan dalam pemerintahan #Hamdok untuk meraih sokongan Amerika Syarikat (AS).

“Permainan murah yang menggunakan nama gerakan sebagai fitnah,” tulis Abu Marzouk di akaun Twitter beliau.

Di Khartoum, pemimpin kanan pasukan petugas yang mengawasi penyitaan aset yang dipimpin kerajaan tidak segera memberi komen, lapor Reuters.

Pasukan petugas itu berkata, tidak merampas harta persendirian yang sah, tetapi mengambil harta awam yang disalahguna ketika pemerintahan lama Bashir. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button