Berita Utama

Ramai tinggalkan kewajipan berpolitik, tanpa sedar diperhambakan musuh Islam

Negara umat Islam masih tahap lemah, bawah pengaruh kuasa besar

BANGI, 19 Safar 1443H, Ahad – Ramai di kalangan umat Islam meninggalkan kewajipan berpolitik dan menyerahkan kuasa kepada pihak lain sehingga menyebabkan tanah air mereka dijajah secara langsung atau tidak langsung.

Bahkan mengakibatkan Islam itu dihina di hadapan mata mereka, tanpa apa-apa perasaan dan tanpa sedar mereka telah diperhambakan oleh musuh Islam, kata Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Ahli Parlimen Marang itu berkata, selepas kewafatan Rasulullah ﷺ hukum kewajipan berpolitik telah menjadi ijmak atau sepakat para ulama.

“Hal ini sekali gus menunjukkan hukum wajib berpolitik adalah berdasarkan kepada nas al-Quran, hadis dan ijma‘ para ulama’ khususnya generasi awal Islam yang menjadi pilihan Allah SWT,” katanya menerusi kenyataan Minda Presiden PAS yang disiarkan di Facebook beliau, hari ini.

Dalam perkembangan sama, Abdul Hadi berkata, kesempurnaan Islam tidak boleh diamalkan tanpa politik bagi mentadbir dan mengurus pelaksanaannya.

“Betapa banyaknya hukum-hukum Allah yang meletakkan syarat pelaksanaannya dengan wujudnya politik serta sebuah kerajaan berdaulat yang mentadbir dan menguruskannya,” katanya.

Abdul Hadi turut menyentuh mengenai kesan politik dihilangkan daripada Islam sehingga tumbangnya sebuah kerajaan yang mendaulatkan agama itu lalu dikuasai oleh penjajah dan ideologinya.

Walaupun dikatakan sudah beroleh kemerdekaan dan mampu memerintah sendiri, tetapi kebanyakan hukum Islam telah dilupakan oleh umat Islam dan mereka jahil mengenainya, katanya.

Beliau turut mengambil contoh mengenai langkah negara Turki dipimpin oleh Kamal Ataturk yang menegakkan sekularisme selepas menjatuhkan Khalifah Uthmaniyah.

Katanya, apa yang dikatakan sebagai langkah memajukan Turki dengan meninggalkan Islam adalah suatu pembohongan, apabila Turki jatuh menjunam daripada kedudukan kuasa besar dunia kepada sebuah negara yang lemah.

“Seterusnya diikuti dengan penjajahan dan pembahagian tanah air Islam oleh kalangan negara-negara penjajah.

“Kesannya sehingga hari ini, negara umat Islam masih berada pada tahap negara yang lemah dan dipecahkan di bawah pengaruh kuasa besar yang menjajah dengan bentuk penjajahan baharu (neokolonialisme).

“Walaupun Allah SWT mengurniakan hasil bumi yang melimpah ruah, penduduk manusia yang ramai dan kedudukan yang terbaik dalam peta dunia, namun tetap tidak berjaya untuk bangkit semula menjadi umat yang hebat dan perkasa,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button