Berita Utama

Rujuk pakar, asatizah sebelum dedah perkara sebenar

Cari keadilan untuk mangsa, tiada isu peribadi atau hasad dengki

Oleh Zuhayati Yazid

BANGI, 19 Safar 1443H, Ahad – Pendakwah bebas, Ustaz Firdaus Wong Wai Hung mendedahkan telah mendapat pandangan asatizah sebelum membuat pendedahan berhubung kes gangguan seksual, yang didakwa membabitkan seorang pendakwah popular, baru-baru ini.

Pengasas dan Presiden Multiracial Reverted Muslims (MRM) itu menjelaskan, pihaknya telah mendapatkan terlebih dahulu pandangan daripada mereka yang pakar dalam hukum-hakam Islam.

“Masyarakat perlu faham apa itu aib dan bukan aib, jangan rujuk kepada saya tetapi perlu rujuk pakar dalam kefatwaan dan hukum hakam, bukannya rujuk artikel.

“Setelah mendapat pandangan daripada mereka yang pakar maka ia ditentukan bukan aib, barulah kami dedahkan kepada semua,” katanya dalam Pertiwi Muktahir bertajuk ‘Dilema! Antara Aib & Jenayah Seksual’ hari ini.

Ustaz Firdaus Wong mengakui selepas pendedahan berkenaan lebih ramai mangsa yang tampil dengan bukti-bukti mereka.

Beliau berkata, menerusi pendedahan berani itu, MRM bersedia sepenuhnya dengan apa juga tindakan kerana prinsip MRM tidak akan bertindak tanpa bukti.

“Kami bersedia dengan kemungkinan tindakan undang-undang demi kebenaran buat mereka yang terkesan dan dizalimi,” katanya.

Ditanya mengenai pendedahan itu berpunca daripada hubungan tidak baik dengan individu berkenaan atau disebabkan dendam mahupun hasad, beliau menafikan, sambil menegaskan semua tindakan itu dilakukan untuk mencari keadilan kepada mangsa semata-mata.

“Saya sudah jangka ramai yang beranggapan kami mempunyai masalah peribadi tetapi sebenarnya tiada isu peribadi tetapi mahu mencari keadilan semata-mata,” katanya.

Terdahulu, Ustaz Firdaus Wong dilapor mendedahkan satu perbualan gangguan seksual yang didakwa membabitkan mangsa.

Beliau mendakwa, itu antara beberapa hantaran mesej WhatsApp yang dilihat sendiri dari telefon bimbit mangsa.

“Perkongsian bukti-bukti ini adalah atas permintaan mangsa untuk kesedaran ramai serta menggalakkan lebih ramai mangsa tampil membuat laporan polis,” dakwanya.

Sejak bulan lalu, kes gangguan seksual membabitkan pendakwah popular hangat diperkatakan – dan difahamkan kes kini masih dalam siasatan pihak polis.

Pautan Pertiwi Muktahir;

https://www.facebook.com/TvPertiwi/videos/576655830151753/

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button