Berita UtamaIstimewa

Silibus UEC: Mengapa ambil masa 6 tahun nak perbetul kecuaian?

Buku teks mesti 100 peratus tepat, tak boleh salah walaupun satu

Oleh Siti Hafidah Abd Ghaffar

BANGI, 19 Safar 1443H, Ahad – Presiden Persatuan Pesara Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Malaysia (PPPPPM), Datuk Abdul Raof Hussin pelik mengapa buku teks sejarah Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) – yang diakui terdapat unsur kecuaian – mengambil masa enam tahun untuk diperbetulkan.

Walhal, kandungan buku teks mestilah 100 peratus tepat, paling penting tidak boleh ada kesalahan meskipun satu kesalahan.

“Misalnya, mereka akui buku teks edisi 2013 ada kesalahan.

“Kenapa ada kesalahan? Kenapa enam tahun selepas itu, 2019 baharu diperbetulkan,” katanya kepada Ismaweb.net hari ini.

Berikutan itu, Abdul Raof menggesa Kementerian Pendidikan (KPM) menyiasat segera dakwaan pertubuhan pendidikan Cina tersebut.

“Sepatutnya, KPM yang sewajarnya membuat kenyataan dan nyatakan sejelas-jelasnya akan kandungan buku teks ini,” katanya.

Beliau berkata demikian mengulas dakwaan sumber pertubuhan pendidikan Cina, Dong Zong bahawa terdapat unsur kecuaian pada dua gambar dalam buku teks sejarah UEC edisi lama.

Memetik China Press, sumber berkaitan mengakui terdapat unsur kecuaian pada dua gambar dalam buku teks edisi lama, tapi ia telah dibetulkan dalam edisi baru.

“Setiap enam tahun kami akan menilai semula dan menambah baik buku-buku teks, sama dengan amalan kerajaan,” dakwanya.

Sebelum ini, Dong Zong menyiarkan sebuah video berbahasa Melayu didakwa untuk menjelaskan ciri-ciri penyusunan buku teks sejarah UEC.

Ini susulan kritikan yang diterima dari pertubuhan Islam, yang mendakwa buku teks UEC memfokuskan sejarah negara China, seolah-olah tidak mementingkan sejarah Malaysia, tiada rasa cintakan negara dan lain-lain lagi.

Sumber Dong Zong berkata, video tersebut bertujuan untuk menjawab ulasan yang dibuat oleh sebuah pertubuhan Islam.

Sumber mendedahkan, kebelakangan ini pertubuhan tersebut dengan lantang menggesa kerajaan agar tidak mengiktiraf UEC di media sosial, bahkan beberapa minggu sebelumnya ia juga telah mengadakan wawancara yang ‘menggembar-gembur’ mengenai buku teks sejarah UEC.

Menurutnya, video penjelasan berbahasa Melayu yang disiarkan oleh Dong Zong adalah sebagai respons terhadap tindakan pihak tersebut, tetapi video itu tidak menamakan kepada siapa ia ditujukan.

Video turut menyebut kesalahan pada buku teks edisi 2013 yang telah dibetulkan dalam edisi 2019.

Malangnya, semakan Ismaweb.net mendapati video berkenaan tidak lagi boleh dilihat, berkemungkinan sudah ditutup.

Silibus UEC: Dong Zong mengaku ada kesilapan dalam buku teks

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button