Berita Utama

Wajib halau jika yakin transgender ‘ceroboh’ bahagian muslimat di masjid

Dedahkan mereka dengan ilmu supaya tak terus hanyut

Oleh Zuhayati Yazid

BANGI, 19 Safar 1443H, Ahad – Ahli jawatankuasa masjid dan pihak berkuasa tempatan mempunyai kuasa menghalau golongan transgender sekiranya mereka melakukan ‘pencerobohan’ di masjid dan mencetuskan keadaan huru-hara.

Perkara itu disuarakan Mufti Pahang, Datuk Seri Dr Abdul Rahman Osman, yang melihat isu transgender sebagai serius dan perlu dihalang dari awal supaya tidak menjadi kebiasaan kepada golongan ‘mukhannath’ berkenaan.

“Sekiranya kita kenal dan yakin si pelaku itu adalah lelaki, namun menggayakan sebagai wanita dan melakukan pencerobohan dengan memasuki bahagian muslimat di masjid atau surau, kita ada kuasa dan wajib halau.

“Tindakan itu penting supaya tidak membiarkan mereka berterusan melakukan kesalahan, kerana keadaan itu boleh memudaratkan lagi keadaan termasuk membatalkan wuduk muslimat.

“Situasi itu juga boleh huru-hara kerana menjadikan muslimat takut dan was-was dengan wanita yang sebenar kerana dibimbangi tertukar dengan transgender,” katanya kepada Ismaweb.net, hari ini.

Terdahulu, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Ahmad Marzuk Shaary sedang meneliti untuk mengenakan larangan daripada memasuki masjid terhadap golongan ‘mukhannath’ atau ‘transgender’ di Wilayah Persekutuan, sebagaimana yang telah dilaksanakan di Perlis.

Tegasnya, tiada sesiapa yang boleh menghalang individu hadir ke masjid walaupun transgender kerana mereka mungkin sudah bertaubat dan berubah.

Dr Abdul Rahman bagaimanapun menjelaskan buat masa ini, tiada larangan kuat kuasa mengharamkan golongan itu di negeri Pahang untuk hadir ke masjid.

Beliau menambah, golongan transgender ini sebenarnya cetek ilmu dan tidak tahu yang dilakukan itu adalah salah disisi agama, sebab itu perlu dekati dan bukan menjadi musuh masyarakat.

“Sikap masyarakat yang sering menghukum dan menghina golongan itu membuatkan mereka menjadi lebih kuat dan bekerjasama sesama sendiri.

“Sepatutnya dekati mereka, ajak mereka ke arah kebaikan supaya tinggal dunia hitam dan dedahkan mereka dengan ilmu yang sebenar,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button