Berita Utama

PDRM buka 25 kertas siasatan berkait PRU15

1,994 permit ceramah dikeluarkan sepanjang kempen

KUALA LUMPUR, 16 Rabiulakhir 1444H, Jumaat – Polis Diraja Malaysia (PDRM) membuka 25 kertas siasatan berkaitan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) melibatkan kesalahan menghasut, ugutan jenayah, merosakkan bendera dan papan tanda milik parti politik serta calon, semalam.

Pengarah Operasi PRU15 PDRM, Datuk Seri Hazani Ghazali berkata, ia membabitkan siasatan empat kes masing-masing di Selangor dan Kedah, Sarawak (tiga), Pulau Pinang (tiga), masing-masing dua di Perak, Negeri Sembilan, Johor dan Terengganu, serta Kuala Lumpur (satu), Melaka (satu) dan Kelantan (satu).

Beliau berkata, polis turut menahan seorang lelaki tempatan pada Rabu lepas kerana disyaki menimbulkan kekecohan di sebuah Pusat Daerah Mengundi di Batu Berendam, Melaka apabila lelaki berkenaan bertindak membalikkan meja, kerusi dan mengoyak bendera dalam kejadian kira-kira 11 malam itu.

“Lelaki itu ditahan bagi membantu siasatan kes membabitkan Seksyen 427 dan 506 Kanun Keseksaan di Melaka iaitu khianat dan ugutan jenayah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Hazani berkata, polis mengeluarkan 1,994 permit bagi mengadakan ceramah sepanjang kempen PRU15 semalam.

Sebanyak 400 permit dikeluarkan di Sabah, Perak (300), Sarawak (226), Selangor (195), Johor (194), Pahang (138), Kedah (135), Negeri Sembilan (133), Melaka (79), Pulau Pinang (63), Kelantan (61), Kuala Lumpur (39), Terengganu (29) dan Perlis (dua), katanya.

Beliau berkata, PDRM telah mengesan 46 ceramah yang tidak memiliki permit iaitu 24 di Kuala Lumpur, Johor (sembilan), Perlis (enam), Selangor (empat), Kelantan (dua) dan Sarawak (satu).-  Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button