Berita UtamaDunia

Russia, China dan AS mahu Taliban bentuk negara inklusif

Taliban perlu buktikan tak lakukan kekerasan seperti dahulu

NEW YORK, 20 Safar 1443H, Isnin – Russia, China dan Amerika Syarikat (AS) kini kononnya bekerjasama bagi memastikan pentadbiran baharu Afghanistan tidak meneruskan kekerasan, sebaliknya membentuk negara yang inklusif.

Menteri Luar Russia, Sergey Lavrov berkata, kerajaan sementara yang diumumkan Taliban baru-baru ini jelas tidak membantu membangunkan semula penduduk Afghanistan.

Taliban berjanji untuk membentuk pemerintahan Islam yang lebih baik, tidak seperti sebelum ini menggunakan kekerasan termasuk tidak menghormati hak wanita dan menyediakan pentadbiran kerajaan keadaan yang stabil.

Namun pemerintahan baharu Taliban ini dilihat masih kekal menggunakan kekerasan dan kembali polisi lama termasuk dasar menindas golongan wanita dan kanak-kanak.

“Apa yang paling penting adalah untuk memastikan semua janji yang dibuat secara terbuka terus kekal dipatuhi,” kata Lavrov sambil menegaskan perkara berkenaan adalah keutamaan buat masa ini.

Beliau ketika menghadiri Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) turut mengkritik tindakan pentadbiran Joe Biden yang menarik diri untuk membantu Afghanistan yang kini berdepan krisis kemanusiaan.

Beliau menegaskan penarikan diri AS dan NATO itu dibuat tanpa pertimbangan dengan apa yang akan berlaku kepada rakyat di sana.

Pada masa sama, beliau turut menzahirkan kekecewaan apabila AS dan sekutu Baratnya sedang berusaha gigih untuk mengurangkan peranan PBB dalam menyelesaikan masalah yang dialami rakyat Afghanistan. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button