Berita Utama

Tak tegas punca Akta 355 tertangguh sekian lama

Buktikan sumpah, janji ketika dilantik untuk junjung Perlembagaan

Oleh Zuhayati Yazid

BANGI, 20 Safar 1443H, Isnin – Berkemungkinan sikap tidak tegas dan berani Ahli Parlimen beragama Islam punca Pindaan Rang Undang-Undang (RUU) Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 atau Akta 355 masih tertangguh sehingga ke hari ini.

Presiden Parti BERJASA, Ustaz Zamani Ibrahim mengakui kecewa kerana Ahli Parlimen majoritinya beragama Islam, tetapi mereka seolah-olah melebihkan agenda politik berbanding menegakkan hukuman kesalahan jenayah syariah.

“Kita gagal membentuk sebuah negara Islam sekiranya ahli politik takut untuk bertegas, mereka patut dahulukan agenda agama demi bangsa.

“Akta 355 ini sudah lama dicadangkan, tetapi apabila ada Ahli Parlimen yang lebih rela menjaga persahabatan dan politik semata-mata, akhirnya mengabaikan hak sebenarnya,” katanya kepada Ismaweb.net, hari ini.

Difahamkan, pindaan Akta 355 adalah bagi membolehkan hukuman lebih berat dikenakan terhadap golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT).

Setakat ini mengikut Akta 355, hukuman yang dikenakan adalah tiga tahun penjara, RM5,000 denda dan enam kali sebatan.

Atas dasar itu, Ustaz Zamani turut menasihatkan Ahli Parlimen bukan Islam supaya membuktikan sumpah yang dilakukan di hadapan Yang Dipertuan Agong ketika menerima lantikan dahulu, untuk terus menjunjung Perlembagaan, selain sedar mereka berada di bawah pentadbiran negara Islam.

“Ini masanya, buktikan sumpah tersebut dengan menghayati Perlembagaan dan bukan hanya beri sokongan di atas kertas sahaja.

“Jangan pula ada yang membantah Akta 355 apabila dibentangkan kelak,” katanya.

Terdahulu, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Ustaz Datuk Ahmad Marzuk Shaary memaklumkan, kerajaan telah bercadang untuk menggubal 11 undang-undang syariah utama.

Katanya, ia termasuk penggubalan undang-undang baharu dan pindaan undang-undang sedia ada, dan lapan undang-undang syariah subsidiari.

“Penggubalan pindaan kepada Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (Akta 355) merupakan sebahagian daripada Pelan Pemerkasaan tersebut,” katanya.

Pada 26 Mei 2016, Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang juga Ahli Parlimen Marang pernah membentangkan Akta 355 sebagai RUU persendirian di Dewan Rakyat.

Ia bertujuan memperkasakan Mahkamah Syariah dan meningkatkan hukuman jenayah sedia tanpa membabitkan masyarakat bukan Islam.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button