Berita Utama

Cadangan pindah guru enggan vaksin hanya bawa ‘bala’ di sekolah baru

Bukan keputusan bijak, mohon perhalusi semula bimbang kelak beri kesan mudarat

Oleh Zuhayati Yazid

BANGI, 20 Safar 1443H, Isnin – Cadangan untuk memindahkan guru yang menolak vaksin COVID-19 ke sekolah atau negeri lain sekiranya menyebabkan proses pengajaran dan pembelajaran (PdP) murid terjejas disifatkan sebagai tidak praktikal dan bukan keputusan terbaik.

Semalam, Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin berkata, meskipun jumlah guru yang tidak mahu divaksin kecil tetapi setelah diselidik, pihaknya mendapati perkara itu tidak boleh dibiarkan berlarutan.

“Sebelum ini, guru yang tidak divaksin tidak boleh mengajar secara bersemuka tetapi kena hadir ke sekolah dan akan ditempatkan di tempat khas dan ada tugasan untuk mereka.

“Namun, apabila kita lihat data, kita dapati di sekolah tertentu ada guru yang tidak mahu divaksin mengajar subjek yang sama, jadi macam mana nak teruskan pembelajaran dalam konteks ini?” katanya.

Difahamkan, bilangan guru-guru yang enggan divaksinasi telah menurun dari angka 2,500 ke sekitar 2,000 sahaja selepas menjalani beberapa proses kaunseling dari pelbagai pihak.

Mengakui vaksin penting dalam menangani wabak, namun pertukaran guru-guru terbabit ke sekolah lain sebenarnya tidak mampu menyelesaikan masalah, sebaliknya hanya membawa ‘bala’ di sekolah baru, kata Presiden Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN), Prof Madya Datuk Dr Mohamad Ali Hasan.

Beliau melihat cadangan kerajaan itu tidak praktikal dan perlu diperhalusi semula, meskipun dalam proses perancangan.

“Jangan kerana mahu menghukum mereka yang enggan vaksin ini, kelak beri kesan mudarat pula kepada pelajar di sekolah baru nanti, ia bukan langkah yang bijak.

“Kaedah itu dilihat menjadikan murid di sekolah baru menjadi mangsa disebabkan sikap degil guru itu, tidak adil begitu,” katanya kepada Ismaweb.net, hari ini.

Sebaliknya, beliau menegaskan, kelompok guru berkenaan perlu sekali lagi diberikan kaunseling bersama agamawan termasuk mufti supaya mereka diberikan pencerahan yang lebih tepat berkaitan hukum hakam.

“Saya berpandangan golongan guru ini sebenarnya takut, jadi kita perlu beri maklumat yang tepat bagi membolehkan mereka terbuka menerimanya,” katanya.

Malah, beliau berpandangan, golongan guru berkenaan perlu diberikan lebih beban dengan cara teruskan sesi pembelajaran secara pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) namun dipantau pihak berwajib.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button