Berita Utama

JAIS serah nama guru KAFA tolak vaksin kepada Sultan Selangor

Beberapa tindakan juga akan diusulkan kepada baginda

BANGI, 20 Safar 1443H, Isnin – Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) akan menyerahkan senarai nama guru Kelas Agama dan Fardu Ain (KAFA) yang menolak vaksin COVID-19 kepada Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj minggu ini.

Pengarah JAIS, Datuk Mohd Shahzihan Ahmad berkata, turut akan diserahkan senarai nama ahli jawatankuasa (AJK) masjid dan surau serta Penolong Pendaftar Perkahwinan, Perceraian dan Rujuk Orang Islam.

Selain itu, beberapa tindakan juga akan turut diusulkan kepada baginda.

“Saya akan persembahkan kepada tuanku dalam minggu ini, nanti saya maklumkan hasil perbincangannya.

“Saya juga akan usulkan beberapa tindakan dan ia adalah usul yang positif kerana kita bukan mahu menghukum sebaliknya kita mahu mereka ambil vaksin.

“Kalau nak hukum, saya sudah keluarkan surat tapi kita pujuk mereka dan kalau mereka tidak mahu (berkeras untuk menolak vaksin) baru kita teruskan (tindakan),” katanya seperti dipetik media tempatan, hari ini.

Pada 22 September lalu, Sultan Selangor menzahirkan dukacita dan amat kecewa apabila dimaklumkan hanya 203 daripada 873 guru KAFA, ajk masjid dan jurunikah di negeri ini hadir pada sesi program vaksinasi khas COVID-19 Frontliner JAIS.

Menerusi kenyataan dimuat naik di Facebook Selangor Royal Office, baginda menzahirkan rasa dukacita apabila 96 daripada 203 yang hadir menolak untuk divaksin.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button