Berita Utama

Rakyat ternanti-nanti pembaharuan Malaysia Madani Anwar

Setakat ini belum nampak 'sesuatu' yang diterjemah dalam tindakan

Oleh Zuhayati Yazid

BANGI, 11 Rejab 1444H, Khamis – Rakyat akan terus menilai sejauh mana Malaysia Madani yang diperkenalkan pentadbiran Datuk Seri Anwar Ibrahim berjaya direalisasikan.

Perdana Menteri sebelum ini mengatakan Malaysia Madani adalah usaha mengemudi serta mengangkat semula martabat dan kegemilangan negara di persada dunia.

Madani diacu berteraskan enam rukun iaitu kemampanan, kesejahteraan, daya cipta, hormat, keyakinan dan ihsan.

Mengulas perkara itu Presiden gerakan Islam, Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Ustaz Muhammad Fauzi Asmuni berkata, walaupun slogan itu kelihatan sempurna, setakat ini belum nampak lagi ia diterjemahkan dalam tindakan.

“Perkara ini dapat dilihat melalui pelantikan anak sulungnya Nurul Izzah sebagai Penasihat Kanan Ekonomi dan Kewangan Perdana Menteri.

“Walaupun apa pun justifikasi yang cuba dihalalkan tetapi tindakan tersebut adalah tidak selari dengan slogan yang diperkenalkan dalam Malaysia Madani.

“Kita bimbang banyak lagi perkara lain akan berlaku seperti isu ini seolah-olah apa yang dicadangkan tidak sama seperti yang dilaungkan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjadi panel dalam program Dimensi: Malaysia Madani Ikut Acuan Apa? Yang disiarkan di TV Pertiwi, hari ini.

Mengulas lanjut, Ustaz Muhammad Fauzi berkata, pelantikan anak sendiri dilihat tidak wajar memandangkan lebih ramai lagi yang lebih layak dan sesuai menggalas jawatan berkenaan.

“Bagi saya, tiada masalah untuk beliau melantik anak sendiri tetapi hakikatnya ramai lagi yang lebih layak dan sesuai.

“Kalau macam itu dia urus, nampak tak adil. Adakah slogan itu hanya ada di atas kertas semata-mata tetapi tidak direalisasikan dengan sempurna,” katanya.

Ustaz Muhammad Fauzi menambah, rakyat kini masih menanti pembaharuan yang cuba dibuat dalam pentadbirannya selari dengan slogan yang dilaungkan dalam Malaysia Madani.

Link berkaitan;
https://fb.watch/ir2oAFB3Wt/

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button