Berita Utama

Pemilikan ekuiti korporat Bumiputera masih rendah: PM

Belum capai sasaran 30 peratus, hanya di paras 17.2 peratus

KUALA LUMPUR, 20 Safar 1443H, Isnin – Pemilikan ekuiti korporat Bumiputera masih belum mencapai sasaran sekurang-kurangnya 30 peratus, kata Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob

Perdana Menteri berkata, status pemilikan ekuiti sektor korporat berasaskan nilai pasaran bagi tahun 2019 menunjukkan pegangan Bumiputera hanya mencapai kadar 17.2 peratus.

Manakala, pegangan bukan Bumiputera setakat ini meliputi 25.0 peratus, pegangan asing (45.5 peratus) dan nomini atau gabungan sejumlah 12.3 peratus.

Bagi memastikan pemilikan ekuiti Bumiputera yang mampan, Ismail Sabri berkata, kerangka jaringan keselamatan ekuiti akan diperkenalkan.

Ini supaya penjualan saham atau syarikat Bumiputera hanya ditawarkan dan dijual kepada konsortium, syarikat atau individu Bumiputera lain.

“Pegangan dan pelupusan pemilikan oleh syarikat Bumiputera akan dikawal selia oleh kementerian dan agensi berkaitan selaku pengawal selia sektor.

“Dalam usaha menyelaras semua inisiatif ini, Bahagian Kemakmuran Bumiputera dengan mandat dan fungsi yang lebih jelas akan diwujudkan semula melalui penugasan semula pegawai di setiap kementerian dan agensi kerajaan,” katanya semasa membentangkan usul RMK-12 di Dewan Rakyat, hari ini.

Ismail Sabri berkata, langkah itu adalah bagi menambah baik tadbir urus pelaksanaan agenda Bumiputera.

“Satu rangka kerja tindakan pembangunan Bumiputera akan diumumkan pada penghujung tahun ini. Ia memperincikan beberapa inisiatif utama dalam merealisasikan aspirasi bagi meningkatkan status sosioekonomi Bumiputera,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button