Berita Utama

Pulang balik duit pakej umrah – Idris

Bayaran tidak semestinya 100 peratus kerana mengambil kira kos pengurusan yang telah dibayar kepada pihak ketiga.

BUKIT GANTANG, 2 Rabiulawal 1443H, Sabtu – Agensi pelancongan yang mengendalikan pakej umrah perlu segera memulangkan semula wang yang telah dibayar bakal umrah yang terkandas akibat pendemik COVID-19 tahun lalu, susulan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang dikeluarkan Arab Saudi.

 

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Senator Idris Ahmad berkata, bagaimanapun, bayaran pulangan tidak semestinya 100 peratus kerana mengambil kira kos pengurusan yang telah dibayar kepada pihak ketiga.

 

“Pembatalan itu bukan disebabkan salah mereka namun SOP yang ditetapkan oleh Arab Saudi. Agensi atau syarikat terbabit menerima wang mereka ini, dapat membuat pembayaran semula kepada jemaah yang tidak dapat menunaikan umrah,” katanya dalam sidang media selepas majlis penyampaian Musaadah Banjir Sekolah Rendah Islam Bistari Darul Mulkan di Jalan Kuala Sepetang dekat Matang, hari ini.

 

Sebelum ini, kerajaan Arab Saudi menetapkan syarat umur 18 hingga 60 tahun, berikutan itu ramai bakal umrah berusia lebih 60 tahun di Malaysia yang telah mendaftar tahun lalu, tidak dapat menunaikan ibadah umrah biarpun pembayaran telah dibuat.

 

Idris berkata, agensi pelancongan yang mengendalikan pakej umrah dinasihatkan memahami konsep muamalat atau bertolak ansur dalam Islam.

 

Menurutnya, bagi agensi atau syarikat pelancongan yang culas atau enggan membayar semula wang jemaah tersebut, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) disaran campurtangan dalam soal tuntutan dan tindakan berikutan agensi atau syarikat pelancongan terletak di bawah bidang kuasa mereka.

 

Ditanya mengenai SOP umrah oleh kerajaan Malaysia, Idris menegaskan akan diumum tidak lama lagi.

 

“Kami telah mesyuarat semalam, namun saya tidak dapat mengumumkannya kerana ia melibatkan dasar. Insya-Allah perkara itu akan diumumkan dalam masa terdekat,” katanya.

 

Dalam pada itu, Idris berkata mana-mana pegawai yang didapati melakukan penyelewengan di 14 agensi di bawah Bahagian Agama di Jabatan Perdana Menteri akan dipecat serta-merta.

 

Jelasnya, tindakan tegas itu diambil kerana pihaknya tidak akan berkompromi dengan mereka yang tidak amanah dan tidak berintegriti dalam menjalankan tugas bagi membantu umat Islam malahan pegawai yang terbabit dengan penyelewengan dàn amanah tidak perlu disimpan.

 

“Semua 14 agensi di bawah saya akan bertemu pada setiap Isnin bagi melaporkan apa yang mereka laksanakan. Saya telah melantik seorang pegawai untuk mengendalikan pemantauan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) di setiap agensi dan KPI 100 hari kementerian,” katanya. – Bernama

 

 

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button