Berita Utama

Remaja ketagih seks perlu bantuan profesional, sokongan keluarga

Kerajaan digesa pandang serius isu ketagihan, wujudkan program bimbing semula remaja bermasalah

Oleh Ainul Illia Meor Suzurudin

BANGI, 20 Safar 1443H, Isnin – Jalan penyelesaian kepada masalah ketagihan seks dalam kalangan remaja tidak mudah kerana ia sesuatu yang membarah.

Lazimnya, sebelum terjebak dalam ketagihan seks, remaja ini adalah mangsa kepada jenayah rogol, amang seksual atau sumbang mahram.

Tidak kurang juga terdapat di kalangan mereka yang sudah pernah menjalankan hubungan seks bebas seawal usia persekolahan.

Namun, akibat antunan seksual atau ‘sexual grooming’ yang dilakukan oleh pelaku terhadap mangsa di bawah umur ini, terdapat di antara remaja yang akhirnya merasakan seronok untuk melakukan hubungan seksual tanpa paksaan dan akhirnya terjerumus kepada masalah ketagihan seks.

Penasihat gerakan Islam Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) dalam hal ehwal kajian dan penyelidikan, Prof Madya Dr Norsaleha Mohd Salleh berkata, remaja yang sudah terkesan ini amat memerlukan bantuan untuk mengawal ketagihan tersebut.

Mereka perlu mendapatkan bantuan profesional seperti diberikan kaunseling atau dibawa berjumpa dengan pakar psikiatri yang betul, katanya.

“Remaja ini perlu dikaunseling, mengikuti proses pemulihan supaya dapat kembali ke kehidupan normal.

“Ibu bapa dan keluarga perlu peka terhadap anak-anak mereka terutama sekali yang pernah menjadi mangsa jenayah seksual. Mereka perlu dibawa kepada pakar psikiatri.

“Kerana kesan selepas dirogol atau bahkan jika dirogol berkali-kali oleh pelaku, selain menyebabkan trauma dan kemurungan, berkemungkinan ada di antara mereka berasa ‘suka’ dan akhirnya ketagih untuk melakukan hubungan seksual,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau menegaskan, kerajaan juga perlu memandang serius isu ketagihan ini dengan menyediakan program rawatan dan pemulihan khas buat remaja terkesan.

“Mereka memerlukan kepada rawatan secara profesional. Seperti menyediakan satu pusat pemulihan dengan menganjurkan program berterusan untuk tangani isu ini.

“Sebab mereka dah mengalami fasa yang mengerikan dalam kehidupan mereka, mereka teraniaya. Jadi kita perlu pandang serius isu ini kerana mereka masih di bawah umur, belum boleh berfikir secara matang.

“Remaja ini perlu diselamatkan dan diberikan pendidikan yang boleh menyelamatkan mereka daripada terus terjebak. Memberikan keyakinan semula dan boleh hidup secara normal. Kerana mereka juga mempunyai masa depan,” katanya.

Pada masa sama, selain usaha daripada pihak kerajaan, Dr Norsaleha turut menekankan aktiviti bersama ahli keluarga supaya ibu bapa dapat mengenali anak masing-masing dengan lebih baik dan peka akan perubahan mereka sehari-hari.

“Lakukan solat jemaah bersama, makan bersama, rekreasi bersama. Banyak kebersamaan, itu boleh mengurangkan risiko anak-anak mencari kehidupan lain.

“Terapkan juga nilai-nilai al-Quran, pada saya, al-Quran paling utama. Sentiasa hidupkan suasana dalam keluarga dengan al-Quran kerana ia sebenarnya menjadi pelindung kepada anak-anak daripada terjebak dalam ruang lingkup masalah sosial.

“Ketagihan seks ini bukan sahaja melibatkan hubungan lelaki dan perempuan. Onani juga termasuk dalam ruang lingkup itu.

“Di sini peranan ibu bapa untuk menjelaskan apa yang wajib, apa yang haram dan harus. Apa yang dibenar dan dilarang. Cerita mengenai syurga dan neraka, wujudnya malaikat yang catat amalan kita.

“Walaupun kita nampak ini macam benda ‘basic’, tetapi inilah akar dia. Jadi benteng kepada anak-anak daripada terlalu tersasar,” katanya.

Terdahulu, hasil kajian sedang dijalankan Polis Diraja Malaysia (PDRM) mendapati 9 daripada 10 remaja perempuan bermasalah yang ditemu bual mengaku ketagih seks walaupun menyedari perkara itu melanggar moral dan berdosa di sisi agama.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Siasatan Jenayah Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak (D11), Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, ACP Puan Siti Kamsiah Hassan berkata, Pegawai Psikologi D11 sedang menyiapkan kajian berkaitan isu itu membabitkan ribuan golongan remaja wanita yang terbabit dalam kes rogol atau disiasat mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan.

Menurutnya, pihaknya mendapati golongan remaja yang pertama kali terjerumus melakukan hubungan seks bebas sudah mula ketagih untuk mengulanginya lagi.

“Lebih membimbangkan apabila mereka ini membabitkan remaja berusia belasan tahun. Ramai antaranya berusia 16 tahun ke bawah,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button