Berita UtamaIstimewa

RMK-12: Agenda Bumiputera jangan sekadar sedapkan telinga saja

Buktikan melalui pelaksanaan, jangan biar Melayu terus jadi kuli

Oleh Zuhayati Yazid

BANGI, 21 Safar 1443H, Selasa – Usaha memperkasakan agenda Bumiputera menerusi Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) perlu dibuktikan dengan pelaksanaan dan bukan sekadar terlihat cantik di atas kertas semata-mata.

Perkara itu disuarakan Presiden Parti Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (BERJASA), Ustaz Zamani Ibrahim yang mahu RMK-12 difokuskan secara serius dan terarah daripada segenap sudut.

“Kita tidak mahu agenda ini dilakukan hanya untuk sedapkan telinga sahaja tapi perlu dilaksana secara teliti supaya orang Melayu tidak terus ketinggalan.

“Tidak nafi jurang antara masyarakat Melayu dan Cina terlalu jauh, kalau dilihat sejak tahun 1941, kaum Cina sudah memiliki persatuan dobi tetapi masyarakat Melayu pula masih ketinggalan, dan tahun 2021 baru ceburi bidang itu dan itu pun hanya dimiliki secara individu sahaja.

“Keadaan ini juga sekiranya berlarutan menyebabkan Melayu akan terus jadi kuli kepada bangsa lain yang datang ke negara kita sendiri,” katanya kepada Ismaweb.net, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas pembentangan RMK-12 oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang memberi jaminan agenda Bumiputera akan terus diperkasa dan tidak akan diabaikan.

Ismail Sabri berkata, jaminan itu sebagai mana termaktub dalam Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan yang memberi hak keistimewaan orang Melayu serta anak negeri iaitu peribumi Sabah dan Sarawak serta kepentingan kaum lain.

Sehubungan itu, Ustaz Zamani berharap, wujud kesedaran dalam kalangan masyarakat Melayu untuk berubah dan perkara itu merupakan aspek yang paling penting dalam mencapai sesuatu kejayaan.

“Peruntukan sahaja tidak cukup tetapi kesedaran diri sendiri juga penting untuk mereka majukan ekonomi keluarga,” ujarnya.

Selain itu, beliau berharap, latihan secara terancang selain pemantauan dengan kerjasama agensi-agensi lain dilaksanakan bagi mendedahkan masyarakat Melayu dengan perkara-perkara baharu yang boleh membantu meningkatkn tahap ekonomi mereka.

“Kalau kita lihat penduduk di kampung-kampung, mereka ada keinginan untuk berubah dan ceburi perniagaan tetapi kekurangan modal dan tidak tahu kaedah yang tepat untuk mereka laksana.

“Jadi di sinilah peranan agensi yang bertanggungjawab untuk ubah mereka dan keluarkan daripada kumpulan kemiskinan tegar kepada yang lebih baik,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button