Berita UtamaDunia

Israel setuju salur semula hasil cukai pada PA

Pembayaran dibuat selepas Shtayyeh letak jawatan PM Palestin

BRASILIA, 18 Syaaban 1445H, Rabu – Israel bersetuju memindahkan semula hasil cukai kepada Pihak Berkuasa Palestin (PA) di tengah-tengah pengeboman dahsyat di Semenanjung Gaza dan Rafah. 

Hasil cukai itu akan digunakan untuk menyokong perkhidmatan penting dan mengukuhkan ekonomi Tebing Barat yang diduduki, umum negara pembuli, Amerika Syarikat (AS) pada Selasa.

Israel biasanya memungut hasil cukai di sempadan di bawah kawalannya bagi pihak Palestin dan memindahkannya ke perbendaharaan Palestin di bawah Protokol Hubungan Ekonomi yang ditandatanganinya dengan Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO) di Paris pada 1994. Ia juga mengutip duti kastam pada import Palestin.

Secara keseluruhan, ia biasanya membayar kepada PA dengan purata sebanyak AS$188 juta sebulan (kira-kira RM901 juta), dengan hasil ini mewakili sumber pendapatan utama pihak berkuasa.

Bagaimanapun, Kabinet Israel pada November lalu memutuskan untuk menggantung pemindahan hasil cukai berikutan serangan pada 7 Oktober lalu. 

Terbaharu, Setiausaha Perbendaharaan AS, Janet Yellen, semasa berada di Brazil untuk sidang kemuncak G20 berkata, dana itu sudah mula disalurkan kepada PA.

Pemindahan semula dana ini dibuat sehari selepas Perdana Menteri Palestin, Mohammad Shtayyeh menyerahkan suratpeletakan jawatan bagi membolehkan pembentukan konsensus antara Palestin mengenai tadbir urus selepas perang Israel ke atas Gaza berakhir.

Sekatan ke atas pekerja Palestin

Yellen berkata, sekatan yang dikenakan Israel ke atas mobiliti pekerja Palestin menghalang aktiviti komersial di Tebing Barat dan Israel, lapor Reuters.

“Menyekat penduduk Tebing Barat bekerja di Israel memberi kesan negatif yang sangat ketara ke atas pendapatan di Tebing Barat. Walhal, Israel juga bergantung kepada tenaga buruh itu,” katanya.

AS dan negara-negara lain telah memberi tekanan kepada PA untuk menggubal reformasi dalaman dan merangka rancangan politik untuk tadbir urus Gaza selepas perang.

Fatah dan Hamas dijadualkan bertemu di Moscow hari ini di tengah-tengah usaha untuk mencapai persetujuan mengenai kerajaan perpaduan.

Pada masa sama, Israel berikrar untuk memusnahkan gerakan Islam, Hamas dan mendakwa, tidak akan menerima PA untuk memerintah Gaza selepas perang.

Peperangan Israel ke atas Gaza setakat ini telah membunuh lebih 29,700 rakyat Palestin dan mencederakan lebih 70,000 yang lain. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button