Berita Utama

Kemasukan pekerja China ke Sabah telah dimaklum kepada Imigresen

Langkah benarkan pekerja China rancakkan projek pembangunan

SANDAKAN, 12 Zulkaedah 1441H, Sabtu – Keputusan kerajaan negeri Sabah membenarkan pekerja asing dari China masuk ke negeri itu telah dimaklumkan kepada Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah dan diminta diselaraskan dengan kerajaan pusat.

Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal menjelaskan keputusan itu yang tertakluk kepada peraturan yang ditetapkan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dibuat setelah berbincang dengan JIM Negeri.

Langkah membenarkan pekerja dari China dibuat untuk merancakkan semula pelaksanaan projek pembangunan di Sabah yang turut mendapat pelaburan dari China.

“Oleh kerana kepakaran mereka (China) kita perlukan kerana mereka ada tenaga kerja berkemahiran teknikal seperti dalam kejuruteraan, saya minta supaya di peringkat jemaah menteri (Sabah) memberi kelulusan, tetapi perlu diselaraskan dengan kerajaan pusat,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan minyak masak tempatan jenama Gold, di sini, hari ini.

Mohd Shafie ditanya pemberita mengenai kenyataan Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob semalam bahawa kerajaan negeri Sabah tidak pernah berbincang dengan kerajaan pusat berhubung keputusan membenarkan pekerja asing dari China masuk ke negeri itu.

Mohd Shafie berkata, beliau telah meminta Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Safar Untong untuk menghubungi Ismail Sabri mengenai keputusan yang dibuat pada 1 Julai itu.

Beliau juga berkata, kerajaan negeri akan meneliti untuk membenarkan pelancong luar negara dari zon hijau masuk ke Sabah dalam usaha memulihkan semula sektor pelancongan negeri. -Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button