Berita Utama

‘China ceroboh Malaysia’: Pelihara kedaulatan, jangan sampai ada pihak ambil kesempatan

Pemimpin negara perlu ambil iktibar daripada Pulau Batu Puteh

BANGI, 21 Safar 1443H, Selasa – Kerajaan Malaysia perlu menyelesaikan konflik antara China dan Amerika Syarikat (AS) berhubung isu Laut China Selatan dengan kadar segera.

Kerajaan tidak boleh memandang remeh isu berkenaan kerana ia melibatkan hubungan diplomasi antara dua pihak.

Sebelum ini media melaporkan, tidak sampai 24 jam Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) melakukan latihan bersama-sama AS, China mula bertindak balas memberi ‘amaran’.

Beberapa portal pertahanan antarabangsa melaporkan sejumlah kapal Pengawal Pantai negara itu menceroboh perairan Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE) Malaysia, antaranya dua kapal negara komunis itu dengan kod CCG 5202 dan CCG 6307 bertindak biadab memasuki kawasan Sabah yang kaya dengan gas dan minyak mentah berkualiti.

Memetik Utusan Malaysia, mereka dilihat mengiringi kapal peninjau penyelidikan China dikenali Da Yang Hao yang sebelum itu angkuh menceroboh perairan Vietnam sebelum diusir negara ASEAN tersebut.

Berikutan perkembangan itu, Presiden BERJASA, Ustaz Zamani Ibrahim menggesa kedaulatan negara dipelihara supaya negara tidak mudah diambil kesempatan oleh pihak luar.

Beliau meminta pemimpin negara mengambil iktibar daripada Pulau Batu Puteh – yang mana kita kehilangan aset berharga buat negara.

“Pencerobohan di negara kita sekarang ini telah berlaku dari luar dan dalam negara sendiri. Ruang udara dicerobohi oleh kuasa luar, tanah rizab, hutan simpanan dan tanah masjid turut dicerobohi oleh syarikat, persatuan dan individu dalam negara.

“Kalaulah orang luar dan orang dalam negara berani menceroboh kedaulatan negara kita, apa gambaran kekuatan sebenar yang dimiliki oleh negara kita,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pada masa sama, beliau mengingatkan bahawa perpecahan parti-parti Melayu akibat sibuk membawa agenda parti, ketidakstabilan politik tanah air turut menyumbang kepada kelemahan negara seluruhnya.

“Bagaimana negara mampu memfokuskan kedaulatannya sedangkan di dalam dewan Parlimen pun terlalu huru hara, suasana Parlimen yang sepatutnya membina kedaulatan bertukar menjadi ‘pasar ikan’,” katanya.

Dalam hal ini juga, beliau berpandangan bahawa Malaysia agak terkebelakang berbanding negara rantau Asia.

Walhal dahulu negara menjadi peneraju utama dalam memperjuangkan bangsa Melayu di rantau ini, namun kini telah lesu dan tidak ada lagi hala tuju.

“Sampai bila kita ingin menjadi pemerhati senyap kepada keadaan yang berlaku terhadap negara tercinta.

“Para pemimpin perlu membuka mata membentuk kesepakatan demi kebajikan rakyat serta kedaulatan negara kembali dipertahankan.

“Perjuangan politik sepatutnya berada dalam konteks maslahat masyarakat bukannya berdasarkan kepentingan diri sendiri atau parti,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button