Berita Utama

Gesa MP muslim usul pindaan batalkan lesen pemandu mabuk

Syor perketat lesen memandu warga emas perlu kajian terperinci

BANGI, 21 Safar 1443H, Selasa – Pertubuhan Pengamal Perubatan dan Kesihatan Muslim Malaysia (I-Medik) menggesa kerajaan bertindak tegas terhadap individu yang memandu di bawah pengaruh alkohol dan dadah.

Timbalan Presidennya, Datuk Dr Mohamed Hatta Mohamed Tarmizi berkata, sudah tiba masanya pindaan segera wajib dilakukan kepada Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Ini supaya hukuman yang lebih berat – termasuk membatalkan serta merta lesen kenderaan memandu (LKM) dan mengharamkan mereka memperbaharuinya – dilakukan ke atas pesalah yang terbukti memandu di bawah pengaruh alkohol dan dadah.

“I-Medik menyarankan Ahli-Ahli Parlimen muslim wajib membawa usul pindaan akta tersebut ke persidangan Parlimen sekarang dan meluluskannya dengan kadar segera.

“Ini selari dengan Maqasid Syariah mewajibkan nyawa dan akal dipelihara. Ini juga sejajar dengan Perlembagaan Malaysia yang mengambil Islam sebagai agama Persekutuannya,” katanya dalam kenyataan kepada Ismaweb.net.

Beliau menyuarakan saranan itu susulan cadangan Polis Diraja Malaysia (PDRM) kepada kerajaan agar mengehadkan pengeluaran lesen memandu kepada warga emas.

Sebelum ini, Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman, Datuk Azisman Alias berkata, antara faktor yang menyumbang kepada kemalangan adalah kerana warga emas memandu kenderaan dalam keadaan mereka tidak sihat sepenuhnya.

Beliau berkata, kumpulan warga emas seharusnya menjalani pemeriksaan kesihatan serta mendapatkan surat daripada doktor terlebih dahulu untuk mengesahkan bahawa mereka sihat untuk memandu.

Mengulas perkara itu, Dr Hatta berkata, saranan berkenaan perlu kajian lebih terperinci dan mungkin dijadikan sebagai pilihan terakhir.

Katanya, I-Medik berpandangan perlu lebih banyak data-data diperolehi untuk melihat sama ada faktor umur pemandu itu boleh menyumbang kepada kemalangan jalan raya.

“Bagaimanapun, I-Medik berpendapat lebih tumpuan harus diberikan kepada kesalahan memandu di bawah pengaruh arak dan dadah,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button