Kematian Adib belum terbela, keluarga harap siasatan diteruskan
'Kita cuma tak mahu kes ditutup terus'
BANGI, 21 Safar 1443H, Selasa – Bapa Allahyarham Muhammad Adib, Mohd Kassim Abdul Hamid akan berbincang dengan peguam bagi mengambil tindakan sesuai demi memastikan kes kematian anaknya mendapat pembelaan.
Beliau berkata, kematian anaknya masih belum terbela menyebabkan ahli keluarga tidak berpuas hati sekiranya kes itu terus ditutup.
“Sekiranya mahu tutup sementara, tetapi dalam masa sama pihak berkuasa meneruskan siasatan, itu tidak apa, kita cuma tak mahu kes ditutup terus.
“Saya harap pihak polis terus melakukan siasatan, jika ada (siasatan) mesti akan ada petunjuk baharu,” katanya seperti dipetik Berita Harian hari ini.
Terdahulu, media melaporkan kes kematian Muhammad Adib ditutup sementara dan akan dibuka semula jika terdapat bukti baharu.
Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Zuraida Kamaruddin dilaporkan berkata, kerajaan kini akan memberi fokus terhadap keperluan keluarga Allahyarham Muhammad Adib.
Menurut Ahli Parlimen Ampang itu juga kes akan dibuka semula sekiranya ada keterangan, maklumat dan bukti yang boleh digunakan.
“Kita akan terus mencari siapa yang telah menyebabkan kematian Adib,” katanya.
Sebelum ini, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin memaklumkan 18 individu telah dituduh dibawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan dan perbicaraan dilaporkan tamat 23 September.
Dua tertuduh telah dituduh dibawah Seksyen 427 iaitu khianat dan dikenakan denda RM7,000 setiap seorang.
“Polis Diraja Malaysia juga telah merujuk kepada Jabatan Peguam Negara berkenaan 12 suspek yang turut ditahan berkaitan kes ini untuk arahan selanjutnya,” katanya.
Muhammad Adib meninggal dunia pada 17 Disember 2018 di Institut Jantung Negara (IJN), sebulan selepas mengalami kecederaan susulan rusuhan di luar Kuil Seafield Sri Maha Mariamman, Subang Jaya pada 27 November 2018.