Berita Utama

KKM usaha bawa pulang doktor pakar kerja di luar negara

Capai sasaran 28,000 doktor pakar menjelang 2030

KUALA LUMPUR, 21 Safar 1443H, Selasa – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam usaha membawa pulang doktor pakar yang berkhidmat di luar negara bagi mencapai sasaran 28,000 doktor pakar menjelang 2030.

Timbalan Menteri Kesihatan, Dr Noor Azmi Ghazali berkata, sasaran itu realistik dan mampu merapatkan jurang kursus kepakaran sarjana serta kursus kepakaran.

“Usaha ini juga untuk menambah jumlah doktor pakar dalam negara dan meningkatkan slot tajaan Hadiah Latihan Persekutuan (HLP) supaya lebih ramai pegawai perubatan boleh melanjutkan pengajian dalam program sarjana kepakaran.

“Jawatankuasa khas ditubuhkan tahun ini yang fokus memohon dana daripada Kementerian Kewangan untuk HLP bagi timbulkan minat dan kebolehlaksanaan doktor-doktor baharu dalam bidang kepakaran yang diminati mereka,” katanya seperti dipetik media tempatan, hari ini.

Sebanyak 1,300 slot HLP disediakan bagi tahun ini.

Pada 15 September lalu, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin dilaporkan berkata, keperluan doktor pakar akan meningkat kepada 28,000 orang pada 2030 bagi merawat warga emas dan penghidap penyakit tidak berjangkit.

Katanya, KKM tidak menafikan sektor kesihatan negara kini mengalami kekurangan doktor pakar hingga mengakibatkan ada pesakit terpaksa menunggu untuk satu tempoh masa tertentu bagi mendapatkan rawatan susulan.

Pada masa sama, beliau berkata, KKM turut melaksanakan lantikan semula pegawai perubatan pakar warganegara Malaysia yang bersara wajib, termasuk mendapatkan khidmat kepakaran daripada sektor swasta menerusi penyampaian perkhidmatan dan penyumberluaran.

Sehingga 30 Jun lalu, seramai 6,012 pakar perubatan berkhidmat di KKM, dengan 5,993 daripadanya adalah pakar perubatan lantikan tetap dan 19 lagi pakar perubatan kontrak.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button