Berita Utama

Kontraktor Melayu gulung tikar jika harga besi terus naik

Kerajaan perlu pastikan harga kembali normal atau kekal harga siling

BANGI, 21 Safar 1443H, Selasa – Tidak mustahil kontraktor Melayu akan gulung tikar sekiranya kerajaan tidak campur tangan dalam isu kenaikan harga bahan binaan, khususnya besi.

Kenaikan harga besi dipercayai terus mencanak naik susulan pengeluaran industri besi yang terjejas akibat wabak COVID-19.

Ketua Pemuda Parti BERJASA, Ustaz Fahmi Bazlan berkata, keadaan ini memaksa harga besi dinaikkan bagi menampung kerugian industri itu dalam negara.

Walaupun keadaan sudah dijangka, kerajaan sepatutnya bertindak lebih awal untuk memastikan harga besi kembali normal atau kekal pada harga siling.

“Terbaru di Shah Alam harga telah meningkat sehingga RM42 sebatang.

“Bagaimana kontraktor Melayu nak hidup, pemegang lesen G1, G2, G3, dan G4 kebanyakan mereka sangat bergantung kepada projek-projek sekala kecil dan sederhana,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pada masa sama, beliau yakin kenaikan kos bahan binaan membebankan modal kontraktor dan masyarakat yang memerlukan kerja-kerja baik pulih kediaman masing-masing.

“Ini soal ekonomi negara yang tidak terkawal. Kesan ini akan akan terus menghantui sosial dan ekonomi rakyat khususnya penggiat kerja binaan dan baik pulih bangunan.

“Kalau harga besi terus mencanak (naik), saya yakin kontraktor Melayu akan gulung tikar,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button