Pendapat

Muliakan diri dengan al-Quran

Allah akan mengangkat seorang itu selagi mana dia berpegang teguh dengan perintah al-Quran

1. Ketika zaman pemerintahan Saidina Umar, beliau dijadualkan untuk bertemu dengan Gabenor Mekah bernama Nafi’ bin Abd al-Harith. Apabila Umar bertemu dengan pemerintah Mekah ini, beliau bertanya kepadanya: “Siapakah yang engkau tinggalkan untuk mentadbir Mekah ketika engkau tiada untuk bertemu denganku ini?”

2. Lalu Nafi (gabenor Mekah itu) berkata: “Aku tinggalkan mereka dengan seorang Maula (orang suruhan) kami.” Lalu Saidina Umar terkejut dan berkata: “Apakah engkau tinggalkan ahli Mekah (yang mulia itu) dengan seorang maula (orang suruhan) sahaja?”

3. Lalu Nafi menjawab: “Aku tinggalkan mereka dengan seorang yang mahir dengan al-Quran dan ilmu Faraid. Umar kelihatan bersetuju dengan tindakan Nafi’ itu dan berkata: Aku mendengar Rasulullah bersabda:

إِنَّ اللَّهَ يَرْفَعُ بِهَذَا الْكِتَابِ أَقْوَامًا وَيَضَعُ بِهِ آخَرِينَ

“Sesungguhnya Allah mengangkat kedudukan seseorang (sesuatu kaum itu) dengan kitab ini (iaitu al-Qur’an) dan merendahkan yang lain dengan kitab ini.” (HR Muslim)

4. Ketika menghuraikan hadis ini, Sheikh al-Mubarakfuri menjelaskan bahawa, tindakan Umar membaca hadis Nabi itu menunjukkan Allah akan memuliakan siapa sahaja dengan al-Quran, sekalipun beliau adalah seorang hamba. Kata beliau:

المعنى إن هذا الأمير رفعه الله عزوجل على هؤلاء المؤمر عليهم

“Maksud hadis ini ialah Allah akan mengangkat pemimpin ini yang (yang berpegang dengan ajaran al-Quran).” (Mi’ah al-Mafatih)

5. Hadis ini turut menunjukkan bagaimana Allah akan mengangkat seorang pemimpin itu selagi mana dia berpegang teguh dengan perintah al-Quran. Oleh yang demikian, amalkanlah setiap pedoman yang diperintahkan oleh Allah dalam al-Quran. Kedudukan manusia itu diangkat selagi mana mereka menjadikan al-Quran petunjuk dan pegangan dalam hidup mereka.

Semoga Allah membimbing kita.

Dr. Ahmad Sanusi Azmi
https://telegram.me/drahmadsanusiazmi

 

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button