Berita Utama

Tolak CPTPP demi kelangsungan kempen BMF!

Tiada keperluan mendesak sekiranya barang asas negara lengkap, mencukupi

Oleh Zuhayati Yazid

BANGI, 21 Safar 1443H, Selasa – Kerajaan digesa untuk tidak meratifikasi Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP) sebagai solusi membela usahawan tempatan sekali gus menjayakan Kempen Beli Produk Muslim atau Buy Muslim First (BMF).

Perkara itu disuarakan Naib Pengerusi Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Malaysia (PEMBELA), Mohd Nor Izzat Mohd Johari yang mahu kerajaan meneliti semula perkara itu agar memberi peluang kepada usahawan tempatan berdiri sendiri selain perkasakan ekonomi negara.

“Walaupun dicanangkan ekonomi akan pulih dengan perjanjian berkenaan tapi hanya melibatkan syarikat gergasi sahaja, jadi bagaimana nasib dengan usahawan yang baharu nak bertatih di negara kita sekiranya diteruskan? Mereka akan terus mati tanpa bantuan pihak kerajaan sendiri.

“Sebab itu kerajaan perlu perkasakan dahulukan usahawan tempatan, lengkap kekurangan terutamanya melibatkan keperluan asas negara.

“Kenapa perlu kita agungkan usahawan gergasi menerusi perjanjian CPTPP sehinggakan usahawan tempatan disisihkan, sepatutnya kita bela golongan ini supaya terus membangun lagi-lagi selepas pandemik COVID-19,” katanya kepada Ismaweb.net, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau yang juga ketua kempen BMF bagi PEMBELA berkata, tiada keperluan mendesak kepada kerajaan meratifikasikan perjanjian berkenaan sekiranya keperluan asas negara lengkap dan mencukupi.

“Tetapi kini kita hanya lihat kelompongan itu sahaja dan bukan mencari solusi sedangkan kita sebuah negara yang memiliki segalanya.

“Sekiranya keperluan asas negara kita lengkap kita tak perlu lagi cari produk dari luar, sebab itu kita perlu perkemaskan kerana negara kita kita kaya dan boleh sekiranya dijayakan dengan jalan yang betul,” ujarnya.

Sehubungan itu, Mohd Nor Izzat berkata, perlu ada kajian menyeluruh dengan kerjasama agensi-agensi lain supaya mencari kekurangan dalam keperluan asas negara dan bukannya meneruskan perjanjian yang dilihat sebagai berat sebelah.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button