Uncategorized

140,608 hilang kerja sejak COVID-19

Bantuan SIP beri manfaat kepada 64,766 individu

KUALA LUMPUR, 22 Safar 1443H, Rabu ¬ Seramai 140,608 individu hilang pekerjaan akibat pandemik COVID-19 sepanjang tempoh Mac 2020 sehingga 20 Ogos lalu.

Jumlah berkenaan diperolehi berdasarkan data perangkaan Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan berkata, kerajaan memandang serius terhadap impak COVID dan mengambil tindakan susulan bagi membantu individu terbabit.

“Dalam tempoh tidak menentu ini, ramai pekerja yang kehilangan pekerjaan atau diberhentikan memerlukan sokongan dan bantuan.

“Antara tindakan kerajaan bagi menangani kehilangan pekerjaan adalah menyalurkan bantuan dengan membantu Orang Berinsurans yang telah kehilangan pekerjaan.

“Bantuan itu adalah di bawah Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) iaitu faedah berbentuk kewangan dan bantuan pencarian pekerjaan,” katanya, ketika jawapan bertulis di Dewan Rakyat.

Menjawab pertanyaan Datuk Mahfuz Omar (PH-Pokok Sena) mengenai jumlah individu yang kembali semula bekerja, Saravanan berkata, ia membabitkan 58,530 orang sepanjang tempoh Mac 2020 sehingga 20 Ogos lalu.

Sejak pelancaran portal MyFutureJobs pada 2020 sehingga 10 September lalu, katanya, seramai 1.13 juta pencari pekerja didaftarkan dan sebanyak 2.31 juta kekosongan jawatan diiklankan di platform itu.

“Sepanjang tempoh itu, seramai 377,076 orang pencari kerja berjaya menempatkan diri dalam dunia pekerjaan,” katanya.

Selain itu beliau menjelaskan, bantuan SIP mampu memberi manfaat kepada 64,766 individu daripada golongan pencari kerja yang kehilangan pekerjaan, manakala 312,310 orang adalah golongan pencari kerja awam.

“Portal MyFutureJobs adalah portal pekerjaan sehenti bagi semua pencari kerja dalam negara yang menghimpunkan pelbagai peluang pekerjaan, program reskilling (pemahiran semula) dan upskilling (peningkatan kemahiran) serta program-program keusahawanan daripada pelbagai agensi,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button