Rusuhan tokong: Bertegaslah, jangan sampai insiden Adib berulang
Bincang perkara secara baik jangan cuba cetuskan kekecohan

Oleh Zuhayati Yazid
BANGI, 22 Safar 1443H, Rabu – Pihak berkuasa diminta untuk bertindak tegas terhadap sesiapa sahaja yang mengganggu tugasan penjawat awam.
Hal ini penting demi memastikan insiden yang pernah berlaku kepada bekas pegawai bomba Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassin tidak berulang kembali.
Peringatan itu disuarakan oleh Ketua Penerangan BERJASA Malaysia, Hazwan Mohamad susulan kekecohan yang berlaku di Salak Selatan, semalam.
“Pihak polis tidak boleh berlembut dalam berdepan situasi begitu, ini akan menyebabkan maruah dan integriti kepolisan tercalar dan perlukan tindakan tegas tanpa kompromi.
“Kita tidak mahu insiden Allahyarham Muhammad Adib berulang lagi, sebab itu tidak boleh pandang remah walaupun tiada kematian tetapi mengganggu tugas penjawat awam tidak boleh dipandang ringan,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net, hari ini.
Terdahulu, polis menafikan kejadian merusuh di Salak Selatan yang tular di media sosial semalam adalah disebabkan tindakan berkaitan aktiviti meroboh tokong.
Ketua Polis Daerah Cheras, ACP Muhammad Idzam Jaafar berkata, insiden berlaku selepas beberapa individu bertindak menghalang kerja pembinaan pagar penghadang ‘hoarding’ oleh pihak Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Kuala Lumpur antara 11.45 pagi hingga 4 petang.
Operasi PTG itu disertai anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah Cheras yang hadir bagi memastikan keselamatan dan kelancaran kerja pembinaan itu.
Beliau berkata semasa operasi dijalankan, terdapat sekumpulan lelaki dan wanita warga tempatan membawa kayu dan besi bertindak menghalang dan memecahkan mesin jentolak selain menyerang anggota polis bertugas.
Mengulas lanjut, Hazwan melihat insiden berkenaan sebagai tindakan biadap dan tidak patut berlaku.
Malah, beliau berpandangan perkara itu boleh dibincangkan secara baik tanpa perlu rusuhan sehingga memaksa pihak polis membuka kertas siasatan.
Katanya lagi, mengugut dan menyerang penjawat awam adalah tindakan yang melampau dan individu berkenaan boleh dikenakan hukuman berat.
“Saya mendesak supaya ada tindakan tegas terhadap mereka yang bertindak ganas dalam insiden tersebut walaupun tiada kematian jiwa dilaporkan,” katanya.