Berita Utama

Pelaku rasuah tak layak jadi pemimpin

Syarat asas seorang pemimpin muslim mestilah adil dan amanah

BANGI, 22 Jamadilakhir 1442H, Khamis – Individu yang terbabit dalam jenayah rasuah dan digelar sebagai fasiq tidak seharusnya dilantik sebagai pemimpin.

Ini kerana, syarat asas bagi seorang pemimpin muslim adalah bersifat adil dan amanah.

Setiausaha Majlis Ulama ISMA (MUIS), Dr Ahmad Sanusi Azmi menegaskan, pesalah rasuah tidak memiliki dua sifat ini.

“Malah yang lebih membimbangkan lagi andai hasil rasuah ini disuapkan pula kepada ahli keluarga dan anak-anak yang tidak mengerti apa-apa.

“Kita sudah tentu tidak mahu untuk memberikan nafkah dan makanan daripada sumber yang tidak diredai oleh Allah,” katanya dalam hantaran di Facebook, hari ini.

Dalam pada itu, beliau menggesa tindakan membanteras jenayah rasuah ini diperkasakan.

Katanya, ia adalah kempen yang dianjurkan oleh Islam melalui sabda Baginda Nabi ﷺ sendiri.

“Al-Imam Ahmad meriwayatkan hadis yang keras berhubung larangan rasuah. Sabda Rasulullah ﷺ : Rasulullah ﷺ melaknat pemberi dan penerima rasuah (HR Ahmad).

“Perhatikan hadis ini betul-betul. Perkataan yang digunakan adalah ‘laknat’. Bererti perbuatan rasuah ini adalah perlakuan yang amat terkutuk sehingga mereka yang melakukannya dilaknat oleh Allah dan Rasul.

“Dengan sebab itu al-Imam al-San’ani dan al-Zahabi meletakkan kumpulan perasuah ini sebagai pelaku dosa besar (murtakib al-kabirah) (Subul al-Salam & al-Kaba’ir). Malah al-Imam al-Qurtubi menegaskan bahawa penerima rasuah ini dikategorikan sebagai orang fasiq. (Jami li Ahkam al-Quran),” katanya.

Semalam, Mahkamah Tinggi menjatuhkan hukuman penjara berjumlah 54 tahun dan denda RM15.45 juta terhadap bekas Pengerusi Felda, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad selepas mendapati bersalah atas sembilan pertuduhan rasuah RM3 juta berkaitan pembelian Merdeka Palace Hotel & Suites (MPHS) di Kuching, Sarawak.

Bagaimanapun, Mohd Isa, 71, hanya perlu menjalani hukuman penjara selama enam tahun selepas Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali memerintahkan semua hukuman penjara itu berjalan serentak.

Bekas Menteri Besar Negeri Sembilan itu dijatuhi hukuman penjara enam tahun bagi setiap pertuduhan dihadapinya dan mahkamah turut memerintahkan tertuduh dipenjara 18 tahun jika gagal membayar denda berkenaan.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button