Berita Utama

Kes Adib: PEMBELA terkejut kenyataan Zuraida, persoal pendirian rasmi pihak berkuasa

Keadilan akan ditegakkan dengan kerjasama pelbagai pihak termasuk keluarga Adib: Aminuddin

BANGI, 22 Safar 1443H, Rabu – Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA) menyatakan rasa marah dan kecewa terhadap kenyataan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Zuraida Kamaruddin mengenai kes kematian anggota bomba, Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim.

Sabtu lalu, media melaporkan kes kematian Allahyarham Muhammad Adib ditutup sementara dan akan dibuka semula jika terdapat bukti baharu.

Zuraida berkata, kerajaan kini akan memberi fokus terhadap keperluan keluarga Allahyarham.

Terkejut dengan kenyataan itu, Pengerusi PEMBELA, Haji Aminuddin Yahaya berkata, ia menimbulkan pelbagai persoalan mengenai lanjutan kes.

Beliau mempersoalkan sama ada siasatan masih diteruskan untuk mendapat bukti baharu atau sekadar menunggu mana-mana pihak membuat laporan.

“Jika kes ini ditutup, bagaimana pula pihak berkuasa siasatan ingin kemukakan dan cari bukti baharu?

“Apakah hasil siasatan yang dibuat oleh satu jawatankuasa yang ditubuh oleh pihak polis satu ketika dahulu? Apakah masih tidak cukup bukti yang dikumpul?

“Mengapakah beliau pula yang mengeluarkan kenyataan berkenaan kes ini? Apakah ini pendirian rasmi pihak berkuasa?,” soalnya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, ia adalah suatu keadaan yang sukar dipercayai bahawa pihak polis tidak dapat mencari bukti dan mengesan pesalah pada zaman teknologi yang serba canggih kini.

Tegasnya, pelbagai pengakuan serta video dan gambar telah diambil oleh pelbagai pihak semasa kejadian namun dimanakah keberadaan bukti-bukti itu.

Aminuddin berkata, jika isu ini tidak ditangani dengan baik, maka pihaknya tidak menolak kemungkinan kebangkitan rakyat akan berlaku.

“Ini bukan isu biasa, jauh sekali isu perkauman tetapi ini adalah isu keadilan untuk seorang penjawat awam.

“Pihak Mahkamah Koroner melalui keputusan inkues juga telah menyatakan dengan jelas terdapat bukti Adib dipukul, setelah mendengar keterangan dari puluhan saksi dan melihat pelbagai bukti yang wujud di tempat kejadian. Pelik sungguh jika kes ini ditutup begitu sahaja.

Sehubungan itu, beliau memaklumkan, PEMBELA akan berusaha dan bekerjasama dengan pelbagai pihak termasuk keluarga Allahyarham bagi mengorak langkah tindakan seterusnya yang harus diambil bagi memastikan keadilan dapat ditegakkan,” katanya.

Sementara itu, semalam, peguam Aidil Khalid yang mewakili keluarga Allahyarham Muhammad Adib dilaporkan berkata perbicaraan membabitkan anggota bomba yang terbunuh dalam tragedi rusuhan kira-kira tiga tahun lalu itu belum berakhir.

Aidil berkata, kenyataan Zuraida bercanggah dengan keputusan inkues berhubung kematian Muhammad Adib.

“Tidak ada tempoh had masa selagi mana pembunuh itu tidak dapat dijumpai,” katanya kepada portal tempatan.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button