Berita UtamaDunia

Tentera UK diarah siap sedia hantar bekalan minyak di stesen

Beberapa stesen ditutup cetus pembelian panik di kalangan penduduk

LONDON, 22 Safar 1443H, Rabu – Tentera United Kingdom (UK) sedang bersiap siaga untuk membekalkan minyak di beberapa stesen minyak di negara itu yang kering selepas beberapa daripadanya ditutup.

Stesen minyak ditutup ekoran kekurangan pemandu trak untuk mengangkut bahan bakar dari kilang, hingga mencetuskan pembelian panik.

Kerajaan mengumumkan bahawa sebilangan kecil pemandu lori tangki tentera UK telah diarah bersedia untuk menghantar bahan bakar di tempat-tempat yang sangat memerlukan.

“Walaupun industri bahan bakar menjangkakan permintaan akan kembali ke paras normal dalam beberapa hari mendatang, langkah pencegahan yang kita ambil ini juga adalah tepat,” kata Setiausaha Perniagaan UK, Kwasi Kwarteng dalam satu kenyataan tanpa menyatakan berapa banyak pemandu yang disediakan.

Di bawah rancangan darurat yang dipertimbangkan oleh kerajaan Perdana Menteri, Boris Johnson, hingga 5,500 pemandu trak asing akan diberikan visa kerja sementara, ketika undang-undang persaingan ditangguhkan untuk membolehkan pembekal menghantar bahan bakar kepada operator saingan.

Bercakap dengan Radio BBC, Ketua Persatuan Peruncit Petrol, Brian Madderson mengatakan bahawa penggunaan tentera sahaja tidak akan cukup untuk menyelesaikan krisis ini kerana mereka mungkin tidak mempunyai latihan yang diperlukan untuk memuatkan tangki di stesen minyak.

Terdahulu, syarikat gergasi minyak Britain, BP untuk sementara waktu menutup beberapa stesen minyaknya pada awal minggu lalu, menyebabkan kenderaan beratur panjang di beberapa stesen minyak di London dan Kent kerana pemandu kenderaan bergegas untuk mengisi minyak. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button